Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019
21) PROJEK PEMBANGUNAN YANG GAGAL SERAH INFRASTRUKTUR KEPADA KERAJAAN
Tahun: 2019
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan projek-projek pembangunan oleh pemaju yang gagal serah infrastruktur kepada Kerajaan.
Untuk makluman Yang Berhormat, semenjak pelaksanaan Dasar Rumah Selangorku pada tahun 2014, tiada projek pembangunan Rumah Selangorku yang gagal menyerahkan infrastrukturnya kepada pihak Kerajaan. Kesemua 31 projek pembangunan Rumah Selangorku telah berjaya disiapkan bersama- sama kerja-kerja infrastruktur seperti mana disyaratkan sebelaum diserahkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Teknikal Kerajaan (JKR, JPS dll.) dan Agensi Utuliti (TNB, SYABAS dll) untuk tujuan penyelenggaraan.
-
Apakah tindakan terhadap pemaju yang gagal menyerah infrastruktur kepada Kerajaan?
Sekiranya pihak pemaju gagal menyerahkan infrastruktur kepada pihak Kerajaan Negeri, pembangunan yang sedang dibina oleh pihak pemaju tidak akan diberikan sokongan bagi proses pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) oleh PBT. Selain daripada itu, projek pembangunan lain di bawah seliaan pemaju tidak akan diluluskan oleh PBT selagi penyerahan infrastruktur tersebut tidak disempurnakan.
-
Apakah tindakan terhadap pemaju untuk memastikan infrastruktur bawah penyenggaraan pemaju adalah secara baik dan selamat digunakan oleh penduduk?
Bagi memastikan infrastruktur projek Rumah Selangorku ini selamat dan berada dalam keadaan yang baik untuk digunakan oleh penduduk, Kerajaan Negeri kini dalam proses menyediakan Manual Pengurusan Dan Penyenggaraan Rumah Selangorku yang mana manual tersebut bertujuan memastikan penyerahan infrastruktur dan pengurusan bangunan dari pihak JMB (Joint Management Body) kepada Persatuan Penduduk (Management Comitee) dilakukan secara teratur. Manual ini juga menjadi panduan dan standard of operation (SOP) kepada pemaju untuk melaksanakan pengurusan dan penyenggaran secara teratur bermula dari tarikh penyerahan milikan kosong lagi serta memastikan pemilik sudah dididik dengan budaya menetap di pangsapuri sejak awal. Ini bagi memudahkan JMB mengambil alih pengurusan daripada pemaju dengan lebih mudah dan tersusun dan mengekang kebergantungan pemilik dengan Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan berterusan dan berpanjangan. Dalam manual, satu kaedah kawalan secara administratif diwujudkan bagi mengawal isu penyewaan RSKU melalui elemen pengisytiharaan daripada pemilik tentang matlamat sebenar memiliki unit RSKU yang merupakan hartanah kawalan selepas selesai program penerangan oleh pemaju semasa penyerahan milikan kosong.