Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
310) PROJEK MITIGASI BANJIR KILAT
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kemukakan langkah mitigasi dan penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku di Jalan J1 dan taman perumahan Jalan J, Taman Melawati, Hulu Kelang? Bilakah projek naik taraf sistem perparitan, pembesaran longkang dan mendalamkan sungai akan bermula?
Untuk makluman Yang Berhormat, bagi mengatasi masalah banjir secara komprehensif di DUN Hulu Kelang, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor telah merancang langkah mitigasi bagi mengatasi masalah banjir di kawasan ini dengan pelaksanaan pelan mitigasi jangka pendek dan jangka panjang.
Bagi penyelesaian jangka pendek, JPS Negeri Selangor melalui JPS Daerah Gombak telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan Sungai Klang di bahagian Kampung Fajar dan Taman Melawati secara berkala. Pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan tersebut dijangka dapat mengurangkan risiko banjir di Jalan J1, perumahan Jalan J, Taman Melawati dan Kampung Fajar.
Bagi penyelesaian jangka panjang pula, JPS Negeri Selangor akan melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf Sungai Klang bagi meningkatkan kapasiti sungai untuk menampung aliran air seterusnya dapat menyelesaikan isu banjir secara holistik di Jalan J1, Perumahan Jalan J, Taman Melawati dan Kampung Fajar.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan pelan mitigasi jangka panjang ini tidak dapat dilaksanakan selagi isu penempatan dan pengambilan tanah di Kampung Fajar belum diselesaikan. Kerajaan Negeri sedang dalam proses untuk menyelesaikan isu pengambilan tanah yang berhampiran dengan Sungai Klang di Kampung Fajar tersebut.