Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

421) PROJEK MENAIK TARAF LONGKANG BUKIT KEMUNING

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah projek menaiktaraf longkang di Bukit Kemuning Batu 7 dan Batu 8 akan bermula dan dijangka tamat?

    Untuk makluman Yang Berhormat, status pelaksanaan Projek Menaiktaraf Sistem Saliran Batu 7 dan Batu 8 Jalan Bukit Kemuning adalah seperti berikut:-

    Pada masa ini, permohonan untuk pertambahan siling bagi pelaksanaan projek penaiktarafan longkang di Bukit Kemuning Batu 7 dan Batu 8 menerusi Kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah diluluskan. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor kini sedang merangka langkah-langkah berikut untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek penaiktarafan tersebut:

    1. Perancangan terperinci: Mengemaskini pelan perancangan kerja mengikut siling yang baru termasuk pelarasan kos dan skop kerja, penetapan tempoh masa dan perkara-perkara lain yang diperlukan.
    2. Penyelarasan dengan pihak berkepentingan: Mengadakan sesi perbincangan dan pelarasan bersama pihak utiliti untuk memastikan pengalihan dan pembinaan utiliti seperti Telekom Malaysia Berhad, Gas Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. dan Fiber Optic (DIGI, Maxis & Celcom) dapat dilaksankan mengikut jadual yang ditetapkan.
    3. Pengurusan perolehan: Memastikan proses perolehan termasuk tender dan kontrak bagi penyediaan perkhidmatan yang berkaitan berjalan lancar.
  2. Apakah tindakan jangka masa panjang dan pendek bagi mengelak isu banjir?

    Soalan ini adalah dijawab secara bersekali dengan Soalan Bernombor #(merujuk kepada soalan pada muka surat 75) oleh Y.B. Tuan Preakas a/l Sampunathan (N50 Kota Kemuning) bertajuk Pengurusan Banjir Di Kota Kemuning Dan Bukit Rimau. (Soalan 341)

    Untuk makluman Yang Berhormat, tindakan masa pendek adalah dengan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran secara berkala oleh agensi-agensi yang berkaitan manakala tindakan masa jangka panjang adalah dengan melaksanakan projek mitigasi banjir di kawasan hotspot banjir bagi mengurangkan risiko berlakunya banjir di kawasan yang terlibat.

  3. Adakah peruntukan disediakan kepada JPS untuk memperbaiki longkang yang rosak danlampiran terperinci?

    Untuk makluman Yang Berhormat, JPS Negeri Selangor akan melaksanakan kerja membaik pulih longkang-longkang yang tersumbat dan rosak teruk yang merangkumi longkang-longkang di bawah seliaan JPS. Berikut adalah senarai longkang-longkang di bawah seliaan JPS yang akan dibaik pulih:-

    1. Sungai Rasau dari Taman Bukit Kemuning hingga ke hilir Sungai Rasau.
    2. Longkang/ Parit di Pintu Air Taman Sri Muda hingga ke Kolam Tadahan Banjir.

Lampiran

Tiada Lampiran.