Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

196) PROJEK MEMBERSIHKAN SUNGAI KLANG

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Lee Ying Ha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah projek membersihkan Sungai Klang akan dimulakan dan tempoh masa untuk membersihkan Sungai Klang?

    Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menganjurkan bengkel konsultasi awam dengan NGO dan wakil-wakil penduduk untuk mendapatkan pendapat dan pandangan mengenai Projek Sungai Klang.

     

    Inventori guna tanah masih di dalam proses. Proses ini dibahagikan kepada tiga bahagian, dengan bahagian Klang sudah diselesaikan. Bahagian Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya sedang dalam proses pelaksanaan, manakala bahagian Ampang Jaya akan dilaksanakan tidak lama lagi.

     

    Kerajaan Negeri Selangor juga telah menawarkan dokumen ‘Request for Business Proposals’ (RFP) kepada syarikat-syarikat swasta. Sebanyak 37 syarikat telah membeli dokumen ini, dan 12 daripada syarikat-syarikat tersebut telah menghantar cadangan mereka. Cadangan-cadangan ini sedang dalam proses penilaian oleh Taksforce Projek Sungai Klang dan pakar-pakar untuk pemilihan projek.

     

    Pada masa yang sama, satu pasukan perancang profesional juga sedang dalam proses untuk membuat ‘vision plan’ projek ini. Pada peringkat ini, pelan sedang dibuat untuk kawasan Klang.

     

    Program yang melibatkan orang awam akan diadakan tidak lama lagi. Kerajaan Negeri sedang bekerjasama dengan sebuah NGO yang berpengalaman luas berkenaan sungai iaitu Global Environment Centre (GEC) untuk menggalakkan penglibatan orang awam dan komuniti di dalam kerja-kerja pembersihan sungai. Pada peringkat berikutnya, Kerajaan Negeri berharap agar mendapat kerjasama sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berkenaan di sepanjang Sungai Klang.

     

    Berdasarkan jadual kerja yang disediakan oleh Sekretariat Projek, selepas penilaian, cadangan akan dipilih sebelum hujung tahun 2009 dan kerja-kerja pemuliharaan dan pembangunan dijangka akan bermula pada suku pertama 2010.

     

    Projek Sungai Klang dijangka mengambil masa 20 tahun untuk pembersihan dan pembangunan.

  2. Berapakah peruntukkan akan dibelanjakan dalam projek ini?

    Kerajaan Negeri Selangor akan memasukkan dana pada mulanya sebagai startup funding. Ini diperuntukkan untuk laporan guna tanah di tiga zon iaitu fasa pertama di Klang, fasa kedua di Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya, dan akhirnya fasa ketiga di Ampang Jaya. Setakat ini, RM200,000 telah diperuntukkan untuk Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), dan RM150,000 untuk Pejabat Tanah dan Galian.

     

    Peruntukan juga dibuat untuk melakukan kempen Pembersihan Sungai Klang. Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan RM50,000 untuk Global Environment Centre (GEC), iaitu sebuah NGO yang akan bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan komuniti, kanak-kanak dan belia untuk latihan dan pendidikan tentang kepentingan menjaga kebersihan sungai.

     

    Kerajaan Negeri Selangor juga akan memperuntukkan wang kepada sebuah kumpulan perancang untuk membuat ‘vision plan’ pembangunan di pesisir Sungai Klang. Jumlah peruntukan ini belum ditentukan lagi, walaupun kerja sudah pun bermula.

     

    Selain daripada peruntukan ini, Kerajaan Negeri Selangor akan bekerjasama dengan pihak swasta melalui Private Funding Initiatives (PFIs) dan Private-Public Partnership (PPP). Harga sepenuhnya yang perlu dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor akan tergantung kepada syarikat yang dipilih oleh Jawatankuasa Sungai Klang, kebolehan syarikat itu untuk memasukkan dana yang tertentu, dan pengurusan di antara pihak Kerajaan Negeri Selangor dan syarikat.

  3. Apakah teknologi yang digunakan?

    Teknologi yang akan diguna pakai adalah bergantung kepada cadangancadangan yang diberikan oleh syarikat-syarikat swasta yang berminat di mana penilaian masih dilaksanakan setakat ini. Disebabkan keluasan lembangan Sungai Klang itu sendiri, kemungkinan akan terdapat pelbagai jenis teknologi yang akan digunakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.