Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
126) PROJEK LRT 3
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini landasan dan stesen pembinaan LRT 3 di DUN Sungai Kandis?
JPS
Untuk makluman Yang Berhormat, pembinaan landasan dan stesen pembinaan LRT 3 di DUN Sungai Kandis adalah di bawah pelarasan Kementerian Pengangkutan (MOT).
SEKSYEN MAKRO DAN PENSWASTAAN
Bagi pembinaan projek LRT3 di DUN Sg. Kandis, pembinaan depoh LRT3, landasan keretapi dan Stesen 26 (Johan Setia) telah siap sepenuhnya dan kini sedang dalam proses permohonan bagi mendapatkan Sijil Siap dan Pematuhan “Completion and Compliance Certificate” (CCC) daripada pihak agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan.
-
Apakah langkah yang diambil oleh LRT 3 bagi mengurangkan masalah banjir di Johan Setia?
JPS
Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor telah mensyaratkan kepada pihak LRT 3 untuk membina kolam takungan di dalam kawasan LRT 3 supaya dapat mengawal aliran air dari kawasan LRT 3 daripada membebani sistem saliran sedia ada di Johan Setia.
SEKSYEN MAKRO DAN PENSWASTAAN
Pihak LRT3 telah pun menyiapkan kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di tapak bina dan longkang tepi jalan di Jalan Klang-Banting, termasuk pembinaan “Crossing Culvert” di Jalan Johan Setia 1 sebagai tambahan kepada sistem perparitan di kawasan setempat seperti yang diperlukan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Pihak Kontraktor LRT3 juga telah menaik taraf dan menyiapkan sepenuhnya pembinaan parit “U-drain” secara tanggungjawab sosial korporat (Corporate Social Responsibility) di kawasan belakang rumah-rumah penduduk Kg. Johan Setia bersempadanan dengan kawasan Depoh LRT3. Pihak Kontraktor LRT3 juga giat melakukan kerja-kerja penyelenggaraan berkala longkang dalam kawasan rizab laluan LRT3 pada setiap minggu untuk memastikan longkang tidak tersumbat.
Di samping itu, satu pembinaan parit “Earth Drain” tambahan untuk melencongkan air daripada Depoh LRT3 ke Sungai Air Hitam sedang giat dilaksanakan oleh pihak Kontraktor LRT3 seperti yang diperlukan oleh pihak JPS juga. Ini adalah untuk mengurangkan beban jumlah aliran air dari Depoh LRT3 ke Parit Johan Setia.
-
Apakah punca sebenar banjir di Johan Setia sejak pembinaan LRT3 di kawasan itu?
JPS
Untuk makluman Yang Berhormat, punca banjir yang sering berlaku di Johan Setia adalah disebabkan oleh taburan hujan yang tinggi di samping berlaku pertembungan air laut pasang. Sistem perparitan sedia ada juga tidak mempunyai kapasiti mencukupi dan perlu dinaiktaraf agar dapat menampung jumlah kapasiti hujan dan isu ‘bottle neck’ yang berlaku di bawah jambatan Jalan Langat yang berada di bawah seliaan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
Selain daripada itu, semasa tempoh pelaksanaan pembinaan LRT 3 juga menjadi salah satu faktor penyumbang kepada kejadian banjir di Johan Setia kerana kolam takungan dan sistem perparitan di kawasan LRT 3 masih belum siap sepenuhnya. Walau bagaimanapun, ianya akan dapat dielakkan setelah pembinaan kolam takungan dan sistem saliran yang sistematik dapat disiapkan dan dialirkan terus ke Sungai Air Hitam tanpa masuk terus ke saliran Parit Johan Setia.
Bagi mengurangkan risiko banjir di Johan Setia, Kerajaan Negeri melalui JPS Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk melaksanakan Projek Menaiktaraf Saliran di Kawasan Kampung Johan Setia, Mukim Klang (Fasa 2), Daerah Klang. Projek tersebut sedang dalam kajian reka bentuk terperinci oleh perunding dan dijangka siap pada sukuan pertama tahun 2025. Kajian reka bentuk terperinci tersebut dijalankan bagi mengenalpasti cadangan kerja-kerja mitigasi banjir yang akan meliputi kawasan Johan Setia. Perincian projek adalah seperti berikut:-
SEKSYEN MAKRO DAN PENSWASTAAN
Punca utama kejadian banjir pada tahun 2022 adalah berikutan kejadian hujan lebat dan berterusan, di samping kejadian air pasang pada 8 dan 9 November 2022.
Tinjauan yang telah dijalankan di tapak bina depoh LRT3 sewaktu kejadian hujan lebat pada waktu itu mendapati paras air sedia ada di Parit Johan Setia adalah tinggi dan paras air telah naik secara mendadak oleh kerana terdapat beberapa halangan kepada aliran air sehingga mengakibatkan saliran dari Kg. Johan Setia melimpah dan berlakunya ‘backflow’. Ini juga adalah sebahagian dari faktor penyumbang yang telah dikenalpasti yang mengakibatkan kejadian banjir di kawasan persekitaran pada masa tersebut.