Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

231) PROJEK LOJI RAWATAN AIR SUNGAI RASAU

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang telah diambil susulan kejadian tebing sungai runtuh sehingga menyebabkan limpahan air kolam memasuki bahagian hadapan tapak pembinaan projek di Taman Mas, Puchong?

    Pada 7 September 2024, satu kejadian tebing runtuh telah berlaku yang melibatkan tapak pembinaan Muka Sauk Stesen Pam Air Mentah bagi Skim Bekalan Air Rasau Pakej 1 berhampiran Taman Mas, Puchong. Namun begitu, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan yang direkodkan akibat kejadian tersebut. Tapak yang terlibat dengan insiden ini merupakan salah satu daripada komponen Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 1 dan kerja-kerja pembinaan bagi tapak-tapak yang lain masih berjalan seperti dalam perancangan.

    Tindakan yang telah diambil susulan daripada insiden tersebut adalah seperti berikut:

    • Air Selangor telah melantik jurutera perunding bebas untuk menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian ini. Pada masa ini, perunding masih di dalam fasa pengumpulan data dan semakan semula analisis reka bentuk kejuruteraan daripada kontraktor Reka & Bina (Design and Build). Proses ini dijangka mengambil masa selama tiga (3) bulan.
    • Membuat semakan menyeluruh terhadap keberkesanan cadangan kerja pembaikan yang dicadangkan oleh kontraktor Reka & Bina bagi memastikan langkah-langkah pemulihan yang akan dilaksanakan telah mengambil kira keseluruhan aspek teknikal dan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (occupational safety and health). Kerja-kerja pembinaan semula ban penahan, pengepaman air keluar dari kawasan yang terjejas, pembersihan, penilaian kerosakan sebenar serta pembaikan dijangka akan mengambil masa sehingga dua belas (12) bulan.
    • Mengenal pasti dan melaksanakan kerja-kerja intervensi di sistem agihan bagi menyalurkan air terawat tambahan dari Loji-Loji Rawatan Air (LRA) lain seperti LRA Sg. Semenyih, LRA Sg. Selangor Fasa 3, LRA Labohan Dagang dan LRA Langat 2 sebagai sokongan meningkatkan margin rizab di Wilayah Klang bagi tempoh 2025 sehingga siapnya Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 1.
    • Kerja-kerja pembaikan dan pembinaan semula ini akan menyebabkan kelewatan dalam penyiapan Skim Bekalan Air Rasau Fasa 1 dari Disember 2025 ke Disember 2026. Satu pelan intervensi telah pun dicadangkan kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan bekalan air mentah dapat disalurkan kepada Skim Bekalan Air Rasau pada tahun 2026

Lampiran

Tiada Lampiran.