Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

103) PROJEK LOJI INSINERATOR SISA KEPADA TENAGA (WTE)

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah proses yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memilih syarikat YTL Power sebagai rakan kongsi KDEB Waste bagi projek loji insinerator sisa kepada tenaga (WTE) ? Apakah jaminan KDEB Waste tidak akan ditelan oleh YTL berdasarkan saiz kewangan kedua-dua syarikat?

    Pemilihan syarikat YTL Power International Berhad sebagai rakan strategik KDEB Waste bagi projek loji insinerator kepada tenaga (WTE) telah dibuat mengikut tatacara perolehan yang telus dan sistematik. Proses pemilihan ini bermula  pada 12 November 2019 dengan pelawaan untuk mengemukakan cadangan atau Request for Proposal (RFP) yang telah diiklankan secara terbuka di media massa. Melalui proses RFP ini, sebanyak  38 syarikat termasuk dari luar negara yang berminat  telah memajukan cadangan mereka. RFP ini kemudiannya telah dinilai secara komprehensif oleh Jawatankuasa Penilai yang terdiri daripada pakar-pakar professional  bidang khusus (subject matter expert) termasuk dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Hasil dari proses pemilihan yang ketat dan teliti  pada fasa pertama merangkumi penilaian teknikal – pemerolehan dan semakan data, sebanyak 14 buah syarikat telah disenarai pendek. Seterusnya, melalui proses penilaian fasa kedua yang meliputi aspek penilaian teknikal dan komersial, sebanyak lima (5) buah syarikat yang kesemuanya syarikat senaraian awam (Public Listed Company)  telah disenarai pendekkan.

    Pada peringkat akhir penilaian yang melibatkan lima (5) buah syarikat yang telah disenarai pendekkan ini, panel-panel penilai juga turut melakukan penilaian di tapak (on-site assessment) di beberapa loji WTE di luar negara bagi menilai sendiri secara fizikal keberkesanan loji-loji WtE yang menggunakan teknologi yang dicadangkan oleh syarikat-syarikat yang telah disenarai pendek ini termasuklah syarikat YTL Power International Berhad. Setelah melalui satu proses penilaian yang teliti dan panjang, berdasarkan kepada laporan dan syor daripada Jawatankuasa Penilai, Lembaga Pengarah KDEB Waste pada 16 Disember 2021 telah meluluskan pemilihan  YTL Power International Berhad  sebagai rakan strategik KDEB Waste bagi pembangunan loji WtE ini berbanding empat (4) syarikat yang lain. Pemilihan YTL  Power International Berhad ini dibuat setelah melepasi semua parameter pemilihan yang ditetapkan oleh panel-panel penilai  termasuk  mengambilkira pengalaman dan kepakaran mereka di dalam sektor tenaga, cadangan penggunaan teknologi yang sesuai dengan sifat sampah atau waste charecteristic di Malaysia dan reputasi serta kedudukan kewangan syarikat tersebut yang kukuh.

    Berhubung dengan jaminan KDEB Waste tidak akan “ditelan” oleh YTL Power International Berhad berdasarkan saiz kewangan kedua-dua syarikat,  Kerajaan Negeri sudah pastinya akan memperhalusi setiap terma-terma yang terkandung di dalam perjanjian usahasama yang akan ditandatangani kelak bagi memastikan kepentingan Kerajaan Negeri melalui KDEB Waste terpelihara dan  situasi menang-menang (win-win) bagi kedua-dua belah pihak. Perjanjian usahasama tersebut juga sudah tentu akan memperincikan perkara-perkara berkenaan obligasi KDEB Waste dan YTL Power International Berhad, termasuk perkara-perkara seperti modal, keuntungan, kerugian, kuasa, tanggungjawab, penyelesaian pertikaian, dan sebagainya. Kerajaan negeri optimis bahawa pembangunan WtE melalui model Kerjasama Awam Swasta (PPP)  di antara YTL Power International Berhad  dan KDEB Waste ini akan dapat membantu kerajaan negeri menguruskan pelupusan sampah dengan lebih efektif dan lestari. Model PPP ini membolehkan suntikan pelaburan dan kepakaran sektor swasta dimanfaatkan dalam membangun dan mengendalikan kemudahan WTE manakala Kerajaan Negeri  akan memberikan sokongan melalui penetapan dasar dan polisi yang jelas dan mampan.

Lampiran

Tiada Lampiran.