Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
73) PROJEK LEMBU TENUSU DAN AYAM DAGING OLEH PKPS
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan setakat ini bagaimanakah perkembangan projek tersebut ?
- Projek penternakan lembu tenusu dan ayam pedaging PKPS telah dimulakan pada tahun 2010 dengan pembinaan kandang lembu dan rumah-rumah ayam di atas tanah seluas 10 ekar. Tapak projek terletak di Ladang Jelutong Jati, Mukim Sungai Panjang, Daerah Sabak Bernam.
- Pelaksanaan projek lembu tenusu dibuat dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor dan mendapat sokongan erat daripada Ketua Pengarah Veterinar, Malaysia.
- Pelaksanaan projek ayam pedaging adalah hasil kerjasama dengan syarikat Charoen Pokphand, iaitu syarikat yang terbesar di Asia dan kedua terbesar dunia di dalam industri ternakan ayam.
PROJEK LEMBU TENUSU
- PKPS telah membawa masuk 116 ekor lembu betina bunting, 3-6 bulan, jenis Friesien (75% pure blood)pada 26 Disember 2010 daripada Thailand. Pembekal adalah sebuah syarikat yang mempunyai 40 tahun pengalaman dalam bidang lembu tenusu. Pada ketika ini, jumlah lembu telah meningkat kepada 202 ekor dengan adanya kelahiran anak-anak lembu.
- Daripada jumlah tersebut, sebanyak 74 ekor lembu betina sedang mengeluarkan susu pada kadar purata 10 liter seekor sehari. Ini bererti jumlah pengeluaran susu sehari ialah 740 liter. Pengeluaran susu dijangka meningkat kepada 1200 liter/hari.
- Ternakan lembu tenusu sedia ada diberi makan rumput Napier dan juga konsentrasi bagi mendapatkan pengeluaran susu yang optima. Rumput Napier telah ditanam di kawasan seluas 66 ekar di sekitar tapak projek. Selain itu, PKPS
juga telah mula mengaplikasikan kaedah ‘Total Mixed Ration’ di mana semua makanan ternakan dicampur ke dalam sebuah mesin yang mengaulkan makanan-makanan tersebut sebelum terus diberi kepada ternakan.
- Pada masa kini, susu segar yang dihasilkan dijual terus kepada Pusat Pengumpulan Susu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Daerah Sabak dan pembeli tempatan.
PROJEK AYAM DAGING
- PKPS telah membina dua (2) buah rumah ayam dengan kapasiti sebanyak 96,000 ekor (@ 48,000 ekor setiap rumah) pada setiap pusingan. Sistem penternakan yang digunakan adalah sistem tertutup dengan menggunakan empat (4) tingkat sangkar. Semua kerja-kerja penyelenggaraan ayam seperti memberi makanan dan minuman adalah dilakukan secara automasi.
- Satu pusingan penternakan ayam akan mengambil masa selama 35 hari. Dianggarkan dalam setahun terdapat sebanyak enam (6) pusingan penternakan dan ini mampu menawarkan bekalan ayam pedaging ke pasaran sebanyak 576,000 ekor setahun @ 2kg/ekor atau 1.2juta kg/tahun.
- Hasil tuaian ternakan pertama adalah pada bulan Mei 2011 dan hasil pusingan kedua pula pada bulan 1 Julai 2011.
-
Sila perjelaskan apakah harapan dan potensi penternakan lembu tenusu dan ayam daging dalam konteks menjana perkembangan kemajuan pertanian Negeri Selangor ?
Harapan PKPS dalam projek penternakan lembu tenusu dan ayam daging ini ialah:
PROJEK LEMBU TENUSU
- Menjadi pengeluar susu segar yang menjual susu-susu dengan menggunakan jenama sendiri untuk dijual ke sekolah-sekolah dan pasaran tempatan.
- Menjadi ladang pembiakan induk bagi mengeluar dan membekalkan lembu tenusu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan juga penternak persendirian ini telah pun dipersetujui oleh Jabatan Veterinar.
- PKPS menjadi model ladang lembu tenusu dan merangsang pendududuk sekitar untuk melaksanakan projek ternakan mereka sendiri. Induk lembu akan dibekalkan oleh PKPS dan keluaran susu dijual lepada PKPS. Ini akan menggalakkan pertumbuhan industri pertenakan lembu.
- Membekalkan daging lembu ke pasaran tempatan kerana anak lembu jantan yang dilahirkan boleh dijadikan sebagai lembu pedaging.
- PKPS berhasrat untuk menjadi pembekal lembu korban. Pada ketika ini lembu korban adalah kebanyakannya diimport daripada negara jiran pabila tiba musim korban.
PROJEK AYAM DAGING
- Kesemua aktiviti-aktiviti tersebut dijangka mampu meningkatkan kemajuan pertanian di Negeri Selangor dengan memberi peluang kepada rakyat untuk menjadi usahawan dalam bidang penternakan lembu tenusu atau aktiviti hiliran yang berkaitan.
- Harapan PKPS dalam projek penternakan ayam pedaging ini adalah untuk membekalkan ayam ke pasaran tempatan sebanyak 96,000 ekor/pusingan, 35 hari. Jumlah ini adalah masih belum mencukupi dalam memenuhi permintaan pasaran di Negeri Selangor yang mempunyai anggaran permintaan sebanyak 10 juta ekor sebulan.
- Selain itu, PKPS juga berhasrat untuk menambah bilangan rumah-rumah ayam sebanyak 4 unit lagi bagi membolehkan kapasiti penternakan ayam ditingkatkan. Pada masa yang sama, PKPS juga berhasrat untuk mewujudkan sebuah pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam sebagai aktiviti hiliran kepada projek penternakan ayam pedaging yang dijalankan.
Dengan adanya aktiviti-aktiviti ini maka peluang usahawan untuk terlibat dengan projek PKPS akan dapat dipertingkatkan
-
Sila nyatakan berapakah peruntukan yang telah disalurkan dalam menjayakan projek tersebut dan apakah jaminan pulangan pelaburan kepada PKPS ?
PROJEK LEMBU TENUSU
Secara keseluruhannya, perbelanjaan yang telah dikeluarkan untuk menjayakan projek penternakan lembu tenusu ini adalah berjumlah RM5.67 juta. Pelaburan tersebut diunjurkan untuk mendapat pulangan pada tahun ke tujuh (7) projek beroperasi.
Jaminan pulangan pelaburan adalah dari segi permintaan pasaran yang jauh lebih tinggi berbanding penawaran. Pada ketika ini, Malaysia mengimport sebanyak 95% keperluan susu negara daripada negara-negara seperti Australia dan New Zealand. Ini bererti bahawa susu-susu yang dihasilkan oleh PKPS akan dapat diserap oleh pasaran tempatan dengan mudah (tertakluk kepada kualiti dan harga susu).
PROJEK AYAM DAGING
Jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan untuk melaksanakan projek penternakan ayam pedaging ini ialah RM5.32 juta. Pulangan pelaburan kepada PKPS adalah diunjurkan pada tahun ke tujuh (7) projek beroperasi.
Jaminan pulangan pelaburan ialah permintaan yang tinggi dan meningkat dari masa ke semasa. Selain daripada itu, kerjasama dengan Syarikat Charoen Pokphand yang telah bersetuju melatih kakitangan PKPS dalam bidang penternakan ayam. Selain daripada itu, Charoen Pokphand membayar kepada PKPS sebanyak RM600,000/tahun untuk menyewa dua (2) buah rumah ayam.