Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
85) PROJEK LEBUHRAYA DUKE FASA 3
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah yang dimaksudkan dengan Projek Lebuhraya DUKE Fasa 3?
Setakat ini, Kerajaan Negeri tidak menerima sebarang permohonan daripada pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) terhadap cadangan pembinaan Projek Lebuhraya DUKE Fasa3.
-
Apakah tindakan kerajaan terhadap pemaju swasta yang tidak merujuk kepada MPAJ walaupun projek tersebut melalui kawasan tadbir MPAJ?
Untuk makluman Y.B. sekalian, Pihak Berkuasa Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bil. 1/2015 bertarikh 12 Februari 2015 telah membuat ketetapan supaya projek-projek pembangunan infrastruktur seperti pembinaan lebuhraya, LRT, MRT, Rel Berkelajuan Tinggi, Talian Voltan Tinggi, pembinaan janakuasa dan lain-lain projek yang berskala besar serta melibatkan implikasi kepada alam sekitar serta penduduk perlu melalui proses rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Perancang Negeri di bawah Seksyen 20(A) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Seksyen berkenaan telah memperuntukkan bahawa hendaklah menjadi kewajipan tiap-tiap jabatan atau agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk berunding dengan Jawatankuasa tentang apa-apa aktiviti pemajuan yang ia bercadang supaya dijalankan di dalam negeri itu. Ini adalah bagi membolehkan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mengambil maklum berkenaan dengan projek pembangunan yang hendak dilaksanakan dan mengelakkan kemungkinan pemajuan berkenaan terkeluar daripada perancangan dan seterusnya menyulitkan kerja-kerja penyelarasan pembangunan fizikal di kawasan tersebut. Kerajaan Negeri juga turut menggunapakai Seksyen 18(1) Akta 172 yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh menggunakan atau membenarkan sesuatu tanah atau bangunan digunakan melainkan menurut Rancangan Tempatan (RT).
Selaras dengan itu, tindakan pemaju yang tidak merujuk kepada Pihak Berkuasa Negeri serta PBT yang terlibat berkaitan sebarang pemajuan yang hendak dilaksanakan boleh menyebabkan cadangan pembinaan tidak dipertimbangkan atau dibatalkan pembangunannya oleh Kerajaan Negeri. Selain daripada itu, PBT yang terlibat juga boleh mengeluarkan notis di bawah Seksyen 27 Akta 172 sebagai tindakan penguatkuasaan ke atas pemajuan tanpa Kebenaran Merancang (KM).
-
Apakah perlu kerajaan menilai untung-rugi projek ini jika diukur dengan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat?
Kerajaan perlu menilai untung-rugi projek ini (jika diteruskan) supaya keutamaan dan kepentingan rakyat diambil kira. Seperti umum sedia maklum, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengamalkan pendekatan mengambil kira pandangan orang ramai dalam menentukan kelulusan sesebuah projek pembangunan agar ianya membawa manfaat menyeluruh. Selain daripada pembangunan ekonomi, Kerajaan Negeri turut menitikberatkan sumbangan sosial dan insani dalam setiap projek yang diluluskan. Dasar pembangunan berkualiti, rakyat dipeduli akan terus menjadi teras dalam setiap pembangunan di Negeri Selangor. Ianya adalah sangat perlu supaya Kerajaan Negeri dapat mempertahankan rakyat daripada menerima masalah-masalah pencemaran, kesihatan, banjir, kemalangan dan sebagainya.