Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016
256) PROJEK LEBUHRAYA BERTOL
Tahun: 2016
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Status terkini semua projek lebuhraya bertol baharu merentasi Selangor terutama KIDEX, EKVE, SUKE, DASH dan Lebuhraya Pantai Barat serta pelan tindakan terperinci, jika ada, menangani impak kenaikan kadar tol.
Berikut adalah status terkini semua lebuhraya bertol baharu merentasi Selangor:-
i) Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX)
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 7/25 pada 17 Februari 2015 dan telah disahkan di dalam MMKN Ke 8/25 pada 25 Februari 2015 telah membuat keputusan tidak mempertimbangkan dan membatalkan pembangunan Lebuhraya KIDEX. Keputusan ini selaras dengan kegagalan pihak konsesi Projek Lebuhraya KIDEX untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan iaitu:
- Menyediakan Penilaian Impak Lalulintas (Traffic Impact Assessment) yang bebas, Penilaian Impak Sosial (Social Impact Assessment) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment). Kajian-kajian ini perlu membuktikan manfaat yang ternyata kepada pihak pengguna dan penduduk di kawasan yang terlibat setelah mengambil kira kesan negatif yang timbul akibat pembinaan lebuh raya tersebut;
- Mendedahkan kadar tol sepanjang tempoh konsesi termasuk fasa kenaikan tol yang ditetapkan dalam konsesi. Pihak konsesi perlu memberi anggaran rasmi jumlah tol yang akan dikutip dan kadar pulangan pelaburan (rate of return to invesment); dan
- Mendedahkan perjanjian konsesi sepenuhnya untuk mematuhi dasar Kerajaan Negeri yang mengamalkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.