Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
312) PROJEK LALUAN REL PANTAI TIMUR (ECRL)
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status pembangunan semula tanah atau pengubahan zon guna tanah di sekeliling setiap stesen ECRL di Negeri Selangor?
Status pembangunan yang terlibat adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerusi Rancangan Struktur Negeri dan juga Rancangan Tempatan. Bagi pembangunan tanah yang melibatkan kawasan sekitar stesen ECRL, satu laporan bersama PLANMalaysia melalui Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (PeGTaECRL) telah disediakan untuk panduan PBN, PBT, dan Agensi Negeri Selangor dalam merancang pembangunan di sekitar stesen dan jajaran ECRL. Ini adalah bagi memastikan pembangunan guna tanah di sepanjang jajaran ECRL dan sekitar stesen termasuk pembangunan Projek Pemacu Ekonomi (Economic Accelerator Project atau EAP) dapat dikenalpasti di samping mengoptimumkan potensi ECRL dalam menyokong pertumbuhan wilayah dan negara.
-
Apakah nilai tambah kepada pembangunan ekonomi setempat bagi setiap stesen?
Jajaran ECRL bakal membentuk tulang belakang pengangkutan bagi menghubungkan kawasan Lembah Klang dan bandar-bandar utama di Pantai Timur iaitu Bentong, Temerloh, Kuantan, Kemaman, Kuala Terengganu dan Kota Bharu. Projek ini akan memberi kesan aglomerasi yang dapat meningkatkan akses kepada peluang pekerjaan dan pusat-pusat ekonomi bagi merangsang aktiviti ekonomi di sepanjang koridor ECRL untuk pengagihan peluang sosio-ekonomi yang lebih seimbang.
Berdasarkan kepada laporan Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (PeGTaECRL), Stesen ITT Gombak merupakan Gateway Penumpang ke Wilayah Pantai Timur, manakala stesen Bandar Serendah pula berfungsi sebagai Hab Logistik. Dalam pada masa itu, stesen Puncak Alam merupakan kawasan Perkhidmatan Sokongan Pelancongan Warisan manakala stesen Kapar merupakan Kawasan Industri Bernilai Tinggi dan stesen Jalan Kastam berfungsi sebagai Gateway Antarabangsa