Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

305) PROJEK KEBUN KERANG

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan jumlah keluasan kebun kerang dan bilangan peserta mengikut pecahan kaum dan daerah?

    Berikut adalah jumlah keluasan Kebun Kerang dan bilangan peserta mengikut pecahan kaum dan daerah:

    Daerah Keluasan

    Lot (hektar)

    Bilangan Peserta
    Melayu Cina India
    Sabak Bernam 2,650 139 191
    Kuala

    Selangor

    2,300 195 171
    Klang 312.5 54
    Jumlah 5,262.5 388 334
  2. Sila perjelaskan apakah pencapaian para peserta dalam konteks meningkatkan pendapatan mereka?

    Dalam konteks meningkatkan pendapatan, peserta kebun kerang yang terdiri daripada nelayan tradisi ini telah berjaya meningkatkan pendapatan bulanan mereka melalui hasil jualan ternakan kerang. Sebelum penubuhan projek kebun kerang, sumber pendapatan nelayan tradisi ini adalah daripada hasil menjaring, bubu dan beberapa lagi kaedah penangkapan ikan menggunakan peralatan tradisi. Pendapatan mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan dan cuaca serta keadaan laut.

    Purata pendapatan nelayan tradisi sebelum menyertai kebun kerang adalah sekitar RM600 hingga RM1000 sebulan. Dengan adanya projek kebun kerang yang dimulakan sepenuhnya pada tahun 2006, ternyata pendapatan nelayan tradisi ini dapat ditingkatkan. Berdasarkan hasil pengeluaran tahunan daripada tahun 2010 hingga 2013, purata pendapatan bulanan bagi setiap peserta projek kebun kerang ini adalah sebanyak RM3,256.19 sebulan. Peningkatan pendapatan ini sekaligus menunjukkan objektif penubuhan kebun kerang ini telah tercapai iaitu meningkatkan pendapatan penternak kepada RM3,000.00 sebulan.

  3. Sila nyatakan apakah bentuk insentif dan bantuan yang telah disalurkan untuk membantu para peserta sejak projek tersebut dilancarkan?

    Semenjak kebun kerang dilancarkan pada tahun 2006, pelbagai bentuk insentif telah diberikan melalui kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan. Di antara bentuk bantuan termasuklah pemberian bantuan peralatan mengoperasikan ternakan kerang seperti mesin penggred kerang, sistem kren pengangkat, mesin pengepam air, tangguk kerang dan bantuan naiktaraf jeti pendaratan kerang. Selain daripada itu, pada tahun 2011 ekoran daripada penurunan pengeluaran kerang, Jabatan Perikanan dengan kerjasama Fish Research Institute (FRI) telah menjalankan kajian pemetaan semula lot kebun kerang bagi mengatasi masalah ketidaksuburan dan ketidaksesuaian kawasan ternakan ini. Kos bagi membiayai kajian ini telah menggunakan peruntukan pembangunan daripada kerajaan Negeri Selangor. Jumlah peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan Negeri Selangor untuk tujuan semua bantuan ini adalah sebanyak RM375,000 bagi tahun 2012 dan RM500,000 bagi tahun 2012.

Lampiran

Tiada Lampiran.