Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
207) PROJEK HORAS
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini HORAS?
HORAS 600 dibangunkan di kawasan bekas lombong di Kg. Sungai Darah, Bestari Jaya, Daerah Kuala Selangor. Bagi memudahkan pelaksanaan dan pemantauan, Projek HORAS 600 ini dibahagikan kepada 2 fasa pembangunan iaitu:
(a) Fasa 1 yang melibatkan 3 pakej kerja iaitu:
(1) Pakej 1 – Kerja Pengorekan Kolam Utama oleh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) yang telah bermula semenjak 15 Mac 2014 yang dibahagikan kepada tiga seksyen:
Seksyen 1 melibatkan kawasan seluas 48 hektar. Kerjakerja pengorekan hingga mencapai paras kedalaman (ODL) antara –13 meter hingga -15 meter telah siap sepenuhnya pada 30 Oktober 2015.
Seksyen 2 melibatkan kawasan rumah pam. Kerja-kerja pengorekan telah siap pada 25 Januari 2017.
Seksyen 3 telah mencapai 60% pada 25 Jun 2017 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 31 Disember 2017.
- Pakej 2 – Kerja-kerja Membina Cerun Kolam & External
Works yang telah bermula pada 16 November 2015 dan akan
siap pada 16 Februari 2017. Kerja-kerja di tapak telah mencapai 64% dan terpaksa diberhentikan berikutan dari kerja-kerja pengorekan kolam utama oleh KSSB yang masih belum siap sepenuhnya. Lanjutan masa telah diberikan kepada kontraktor untuk menyiapkan kerja sehingga 15 Ogos 2018.
- Pakej 3 – Pembinaan kolam Hang Tuah
Berdasarkan kepada kajian dan analisi yang dibuat, pihak Perunding mencadangkan supaya pelaksanaan Pakej ini ditangguhkan kerana air mentah dari HORAS 600 akan dipam terus ke sungai dan bukan ke loji rawatan air.
(b) Fasa 2 pula melibatkan pembinaan rumah pam. Kerja-kerja di tapak dijadualkan bermula pada 01 September 2017 dan siap pada 30 November 2018.
-
Adakah Kerajaan Negeri kekal yakin dengan pelaksanaan projek tersebut?
Kerajaan Negeri yakin projek HORAS 600 dapat memberikan banyak kebaikan dalam usaha untuk meningkatkan bekalan air mentah. Walaupun HORAS 600 belum siap sepenuhnya, ia telah membekalkan air mentah sebanyak 160JLH untuk dialirkan ke Sungai Selangor bagi meningkatkan paras aliran sungai dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi. Perkara ini juga antara salah satu faktor yang menyebabkan kita berjaya mengelakkan masalah gangguan air semasa negara dilanda fenomena el nino. Justeru itu, dengan siapnya projek HORAS 600 ini, bekalan air mentah yang berterusan dapat dibekalkan dari Kolam HORAS ini. Projek HORAS ini juga telah menjadi ikutan bagi negeri-negeri lain dalam mengatasi masalah kekurangan air.
-
Nyatakan tarikh projek tersebut siap sepenuhnya.
Mengikut perancangan baru setelah mengambil kira kerja-kerja pengorekan kolam utama oleh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. yang dijadualkan siap pada 31 Disember 2017, projek HORAS 600 ini dijangka siap sepenuhnya pada 31 Disember 2018.