Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

65) PROJEK ECRL

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini projek ECRL yang melibatkan parlimen Kapar?

    SEKSYEN MAKRO DAN PENSWASTAAN

    Bagi jajaran ECRL di parlimen Kapar, jajaran ECRL akan menuju ke arah Selatan dan kemudian melintasi Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sebaik sahaja melepasi Bandar Puncak Alam. Kemudian, ia akan diteruskan ke selatan melalui kawasan tanah pertanian di utara Kapar sebelum tiba di stesen Kapar. Selepas stesen Kapar, jajaran ini akan menuju ke arah selatan dengan jajaran bertingkat, melintasi Jalan Kapar, merentasi Sungai Puloh dan Sungai Klang, dan diteruskan ke arah tenggara dengan jajaran bertingkat mengikut lengkungan sungai tersebut. Secara keseluruhannya, jajaran ECRL di dalam Parlimen Kapar akan melalui kawasan ladang kelapa sawit, kawasan perindustrian dan juga kawasan kampung. Manakala, bagi kawasan sekitar Stesen ECRL Kapar yang terletak di Batu 10, kebanyakannya merupakan kawasan Perindustrian.

    Pada ketika ini, pembinaan projek ECRL melibatkan kerja-kerja struktur utama seperti pemasangan rasuk (beam launching), pembinaan stesen, pembinaan terowong dan pemasangan landasan (track laying) sedang giat dilaksanakan di sepanjang jajaran tersebut.

    Sehingga bulan Mei 2024, status kemajuan keseluruhan projek ini telah mencapai 67.09% manakala kemajuan kerja pembinaan di Negeri Selangor telah mencapai 29.68% dan di daerah Klang khususnya telah mencapai 3.43%. Bagi kawasan parlimen Kapar, kerja-kerja pembinaan jajaran telah mula dilaksanakan, di mana kerja-kerja awalan seperti pembinaan tiang jajaran adalah dalam proses perlaksanaan pada masa ini.

     

    JKPTG

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665km adalah projek infrastruktur rel yang akan menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia iaitu negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

    Projek ECRL ini terdiri daripada 20 stesen secara keseluruhannya. Stesen ECRL bermula dengan 2 stesen di negeri Kelantan, 6 stesen di negeri Terengganu, 7 stesen di negeri Pahang dan 5 stesen di negeri Selangor. Stesen-stesen yang terdapat di negeri Selangor khususnya adalah stesen ITT Gombak (stesen penumpang), stesen Bandar Serendah (stesen penumpang dan kargo), stesen Puncak Alam (stesen penumpang), stesen Kapar (stesen penumpang), dan stesen Jalan Kastam (stesen penumpang dan kargo). Jumlah keseluruhan panjang jajaran di negeri Selangor adalah 121.17km yang merangkumi jajaran utama 91.36km dan jajaran sisihan 29.81 km.

    Pada ketika ini, pembinaan projek ECRL melibatkan kerja-kerja struktur utama seperti pemasangan rasuk (beam launching), pembinaan stesen, pembinaan terowong dan pemasangan landasan (track laying) sedang giat dilaksanakan di sepanjang jajaran. Sehingga bulan Mei 2024, status kemajuan keseluruhan projek ini telah mencapai 67.09% manakala kemajuan kerja pembinaan di Negeri Selangor telah mencapai 29.68% dan di daerah Klang khususnya telah mencapai 3.43%.

  2. Apakah isu pemindahan tanah perkuburan Islam Selat Klang yang melibatkan kerja-kerja ECRL telah diselesaikan dengan pihak waris?

    SEKSYEN MAKRO DAN PENSWASTAAN

    Bagi isu pemindahan tanah perkuburan Islam Selat Klang, pihak ECRL telah mendapat kelulusan dari Jabatan Mufti Selangor pada 3 Ogos 2023 untuk pemindahan kubur yang terlibat. Sesi penerangan bersama waris-waris kubur yang terlibat telah diadakan bersama Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang pada 21 April 2024 bertempat di Dewan Hamzah Klang. Pada 1 Mei 2024, pihak ECRL telah diarahkan untuk menangguhkan kerja pemindahan kubur di Kubur Selat Klang dan perlu mengadakan perjumpaan kedua bersama waris-waris yang terlibat. Perjumpaan tersebut telah diadakan pada 5 Mei 2024 bertempat di Dewan Hamzah Klang.

    Kerja-kerja pemindahan kubur akan dijalankan bersama JAIS dan MAIS dalam waktu terdekat ini memandangkan semua keperluan bagi proses pemindahan telahpun dipatuhi.

    MBDK

    Sesi perjumpaan bersama waris telah diadakan sebanyak tiga (3) kali iaitu pada 29/04/2024, 01/05/2024 dan 08/05/2024. Perjumpaan ini bertujuan bagi memberikan penerangan dan taklimat kepada semua waris berkenaan Projek ECRL yang terlibat di kawasan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang dan taklimat telah disampaikan oleh wakil dari MRL, JAIS dan MBDK. Majlis Bandaraya Diraja Klang dan Pejabat Agama Islam Klang telah menghubungi waris berdasarkan maklumat yang diberikan oleh waris semasa pendaftaran pengebumian. Jabatan Agama Islam Negeri Selangor juga telah membuat hebahan semasa solat jumaat kepada semua masjid dan surau untuk memaklumkan berkenaan perjumpaan ini dan meminta waris yang terlibat hadir sesi perjumpaan.

    JAIS

    Ya, telah selesai. Pihak ECRL telah menyelesaikan pertemuan dan pemberitahuan makluman berkaitan perpindahan 90 jenazah kepada pihak waris. Pihak JAIS serta Jabatan Mufti adalah pihak yang bertanggungjawab untuk memantau agar proses perpindahan tersebut dibuat mengikut hukum syarak.

    Pemakluman kepada waris yang terlibat dengan pemindahan 90 buah kubur di Tapak Perkuburan Islam Selat Klang akan dikendalikan oleh Malaysia Rail Link (MRL) dan dibantu oleh pihak Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Klang.

    Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS), Unit Pakar Forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Jabatan Agama Islam Selangor hanya bertindak sebagai pemantau dan penasihat bagi memastikan proses pemindahan jenazah tersebut dapat dibuat mengikut peraturan dan hukum syarak.

    JKPTG

    Bagi jajaran ECRL di parlimen Kapar, jajaran ECRL akan menuju ke arah Selatan dan kemudian melintasi Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sebaik sahaja melepasi Bandar Puncak Alam. Kemudian, ia akan diteruskan ke selatan melalui kawasan tanah pertanian di utara Kapar sebelum tiba di stesen Kapar. Selepas stesen Kapar, jajaran ini akan menuju ke arah selatan dengan jajaran bertingkat, melintasi Jalan Kapar, merentasi Sungai Puloh dan Sungai Klang, dan diteruskan ke arah tenggara dengan jajaran bertingkat mengikut lengkungan sungai tersebut. Secara keseluruhannya, jajaran ECRL di dalam Parlimen Kapar akan melalui kawasan ladang kelapa sawit, kawasan perindustrian dan juga kawasan kampung. Manakala, bagi kawasan sekitar Stesen ECRL Kapar yang terletak di Batu 10, kebanyakannya merupakan kawasan Perindustrian.

    Bagi isu pemindahan tanah perkuburan Islam Selat Klang, pihak ECRL telah mendapat kelulusan dari Jabatan Mufti Selangor pada 3 Ogos 2023 untuk pemindahan kubur yang terlibat. Sesi penerangan bersama waris-waris kubur yang terlibat telah diadakan bersama Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang pada 21 April 2024 bertempat di Dewan Hamzah Klang. Pada 1 Mei 2024, pihak ECRL telah diarahkan untuk menangguhkan kerja pemindahan kubur di Kubur Selat Klang dan mengadakan perjumpaan kedua bersama waris-waris yang terlibat. Perjumpaan tersebut telah diadakan pada 5 Mei 2024 bertempat di Dewan Hamzah Klang.

    Kerja-kerja pemindahan kubur akan dijalankan bersama JAIS dan MAIS dalam waktu terdekat ini memandangkan semua keperluan bagi proses pemindahan telahpun dipatuhi.

Lampiran

Tiada Lampiran.