Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
42) PROJEK DATUM JELATEK
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini pembinaan projek Datum Jelatek di Taman Keramat Kuala Lumpur
Kebenaran Merancang (KM) dan Lesen Pembangunan dan Permit Pengiklanan/Advertising Permit & Developer License (APDL) dalam proses permohonan dan dijangka diperolehi pada akhir bulan Julai 2013.
Pelan pembangunan projek Datum Jelatek di Taman Keramat Kuala Lumpur di mana “Building Plan: telah diluluskan pada 8 Mei 2013. Penyerahan tapak kepada kontraktor telah diberikan pada 30 Mei 2013.
-
Apakah status terkini berkaitan aduan penduduk di kawasan terlibat, apakah telah diselesaikan?
Antara aduan-aduan yang dikemukan oleh penduduk/Badan Bertindak Datum Jelatek ialah projek ini dikatakan membelakangkan kepentingan dan hak Bumiputera, orang Melayu tersisih, kediaman penduduk akan dirobohkan, warga asing dibenarkan memiliki kediaman di kawasa Melayu, projek ini hanya menguntungkan warga asing seperti dari Singapura serta banyak lagi.
Ingin dijelaskan bahawa Projek Datum Jelatek adalah gabungan perkongsian bijak antara PKNS, Kerajaan Negeri Selangor dan penduduk sekitar bagi membaiki mutu hidup rakyat di kawasan Jelatek dan sekitarnya.
Sebenarnya tidak ada satu pun unit Projek Datum Jelatek dijual kepada manamana pelabur asing termasuk pelabur dari Singapura mahupun China. Ini adalah kerana PKNS masih belum memperolehi Lesen Pemajuan dan Permit Iklan (APDL).
Ekspo Hartanah di Singapura hanyalah salah satu usaha promosi penjenamaan PKNS sebagai pemaju hartanah yang kompetitif. PKNS memberi jaminan bahawa kepentingan pegangan Bumiputera akan dipertahankan. Dasar ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri.
PKNS turut memberi jaminan 50 peratus kuota jualan kepada Bumiputera dan 10 peratus diskaun kepada Bumiputera dipatuhi. Ramai individu Bumiputera telah menunjukkan minat yang tinggi untuk membeli unit-unit di Datum Jelatek.
Projek ini juga akan menyediakan 200 unit ruang niaga mampu milik berbanding 48 unit pada projek asal untuk usahawan Bumiputera.
Penaiktarafan Jalan Enggang dan Jalan Jelatek tidak akan menjejaskan atau merobohkan mana-mana kediaman rumah di jalan-jalan tersebut. Ini kerana penaiktarafan jalan-jalan tersebut hanya akan melibatkan tanah rezab jalan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
PKNS secara keseluruhannya membelanjakan sebanyak RM25 juta untuk membayar pampasan kepada penduduk asal flat Jelatek manakala RM52 juta lagi dibelanjakan untuk bayaran premium tanah.
Mengenai dakwaan pembinaan Skybar seperti yang didakwa sesetengah pihak, PKNS menafikan sekeras-kerasnya yang kemudahan itu akan dibina, tetapi sebaliknya adalah Sky Ring.
PKNS prihatin dan peka dengan maklumbalas yang diberikan penduduk. Sehubungan dengan itu, PKNS telah mengambil tindakan yang sewajarnya antaranya:
i) Mengeluarkan 15,000 risalah bagi menerangkan mengenai projek Datum
Jelatek dan manfaatnya kepada penduduk
ii) Mengadakan 3 kali sesi penerangan kepada penduduk
iii) Mendapatkan respon pakar industri hartanah mengenai cadangan pembangunan projek ini
Ingin ditegaskan lagi sekali bahawa sebanyak 192 keluarga penduduk asal telah menerima pampasan berjumlah RM25 juta atau 13 kali ganda daripada harga belian asal. Projek pembangunan semula ini sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memperbaharui bangunan usang di kawasan bandar yang bukan sahaja dapat meningkatkan nilai hartanah Bumiputera malahan hasil daripada keuntungan projek ini akan disalurkan semula kepada rakyat.
-
Benarkah dakwaan yang mengatakan projek ini membuka ruang yang terlalu besar kepada pembeli rakyat asing?
Kenyataan ini adalah tidak benar memandangkan pihak syarikat Datum Corp International Sdn Bhd harus mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan iaitu memastikan 50% daripada pembangunan harus dimiliki oleh Bumiputera.