Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008
21 Mei hingga 22 Mei 2008, 24 Mei dan 26 Mei 2008
135) PROJEK AMPANG WATER FRONT
Tahun: 2008
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kelulusan tanah yang dibangunkan di ampang iaitu projek Ampang Water Front adalah seluas lebih kurang 16 ekar. Soalannya, berapa luaskan tanah rezab sungai dan rizab jalan yang telah digunakan untuk projek tersebut?
Tiada rizab sungai dan rizab jalan digunakan untuk projek tersebut. Bangunan projek ini adalah di atas tanah kerajaan yang diberi milik kepada MPAJ. Sebahagian daripada tanah tersebut telah dipersetujui oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk diluluskan kepada MPAJ, apabila sungai tersebut dibina, tembok konkrit dan rizab sungai tidak lagi diperlukan seluas rizab yang sedia ada. Selebihnya bangunan tersebut adalah dibina di atas tanah pemaju yang telah diserah kepada kerajaan.
-
Bagaimanakah struktur bangunan kekal boleh didirikan di atas tanah rizab sungai seperti yang terjadi di Ampang Water Front? Siapa yang memberi kelulusan pembinaannya? Kos projek berkenaan ditanggung oleh siapa?
Struktur bangunan kekal projek ‘Ampang Waterfront’ bukan di bina di atas rizab sungai. la dibina di atas tanah yang diberi milik kepada MPAJ dan adalah projek usaha sama MPAJ dengan Tetuan GMH Properties Sdn. Bhd. seperti mana kelulusan Mesyuarat MMKN ke 7/2004 bertarikh 10 Februari 2004 (Cabutan Kertas MMKN bertarikh 4 Februari 2004 – kertas EXCO MTES No. 317/2004) telah bersetuju untuk membangunkan dan menaik taraf tanah “Ampang Waterfront” secara usaha sama MPAJ dengan Tetuan GMH Properties Sdn. Bhd. dan segala kos pembangunan ditanggung oleh pihak pemaju.
-
Sepanjang pengetahuan saya CF tidak pernah dikeluarkan kerana tapak bangunan tersebut adalah rizab sungai. Jadi bagaimanakah ianya boleh diduduki? Siapakah yang memberi kebenaran mendudukinya? Bagaimana tindakan kerajaan dan apakah dasar kerajaan tentang pembinaan dan pembangunandi tepi sungai atau di cerun bukit?
Bangunan yang didirikan di projek Ampang Waterfront Fasa 1 telah dikeluarkan sijil layak menduduki (CF – No : B0044) oleh MPAJ pada 6 Oktober 2006. Fasa 2 dan 3 adalah masih dalam pembinaan dan belum dikeluarkan CF. Pembangunan tersebut adalah mengikut peraturan dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan MPAJ dan Kerajaan Negeri Selangor. Tiada tindakan perlu diambil ke atas projek tersebut.
Dasar kerajaan negeri berhubung pembangunan tepi sungai atau cerun bukit adalah tertakluk kepada dasar/garis panduan pembangunan kawasan sensitif alam sekitar. Pembangunan perlu mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dari masa ke semasa.
* Nota – sumber jawapan diperoleh daripada MPAJ.