Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019
45) PROGRAM “WORK FROM HOME” BAWAH JAWATANKUASA TETAP PEMBERDAYAAN WANITA DAN KELUARGA
Tahun: 2019
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimanakah peserta-peserta projek perintis yang melibatkan penyertaan seramai 87 orang peserta dipilih untuk program Work From Home?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga telah menjalankan projek rintis yang pertama bagi Work From Home (WFH) iaitu penganjuran Program Seri Tanjung : Kursus Jahitan Manik Peringkat Negeri Selangor yang telah diadakan pada 26 hingga 30 November 2018. Sesi pemilihan peserta bagi program tersebut diadakan pada 21 November 2018 di Bangunan SUK Selangor dengan kerjasama daripada penyelia-penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) bagi 56 DUN seluruh Selangor. Seramai 300 orang peserta KISS telah disaring dan hanya 100 orang sahaja yang terpilih dan layak berdasarkan saringan jahitan yang dilakukan oleh syarikat Cosry Wise (M) Sdn Bhd. Namun, hanya 87 orang sahaja yang menghadiri kursus tersebut sehingga hari terakhir.
-
Apakah pencapaian utama yang berjaya dicapai oleh 87 orang peserta program perintis Work From Home selepas menyertai program ini?
Buat masa ini, pencapaian para peserta yang terlibat masih bersifat kendiri di mana ada di kalangan peserta yang telah mula menerima tempahan jahitan dari rumah. Walau bagaimanapun, pencapaian ini belum berlaku secara menyeluruh kerana pihak syarikat yang mengendalikan projek rintis ini belum menyediakan peluang pekerjaan seperti yang dijanjikan berikutan kekangan modal yang mereka hadapi. Kerajaan Negeri juga telah mengadakan perbincangan bersama pihak syarikat bagi mengenalpasti permasalahan yang dihadapi dan memastikan agar penambahbaikan dibuat dan peluang pekerjaan kepada para peserta oleh pihak syarikat dipenuhi.
-
Senaraikan syarikat-syarikat yang bekerja sama dengan Kerajaan Negeri dalam program Work From Home dan apakah jenis ruang pemasaran yang disediakan oleh mereka?
Senarai syarikat yang telah dan akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam program Work From Home (WFH) serta ruang pemasaran yang disediakan adalah seperti berikut :
COSRY WISE (M) SDN BHD
Memasarkan produk yang dihasilkan oleh peserta melalui rangkaian perniagaan di bawah kelolaan syarikat COSRY WISE (M) SDN BHD.
NICKS CREATION ACADEMY
Memasarkan produk yang dihasilkan oleh peserta melalui rangkaian perniagaan di bawah kelolaan syarikat NICKS CREATION ACADEMY.
SRIKANDI SKILL COLLEGE
Memasarkan produk yang dihasilkan oleh peserta melalui rangkaian perniagaan di bawah kelolaaan syarikat SITI KHADIJAH.
PERSATUAN e-SKILL WANITA (PELITA)
Memasarkan produk yang dihasilkan oleh peserta melalui rangkaian usaha sama syarikat tempatan di bawah kelolaaan persatuan.