Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

136) PROGRAM WAKAF TUNAI PERBADANAN WAKAF SELANGOR

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah penerima manfaat dan program daripada dana wakaf tunai Perbadanan Wakaf Selangor dan apakah bentuk manfaat dan program tersebut?

    Untuk makluman Yang Berhormat, “wakaf tunai” mengikut Seksyen 2 Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 2015 bermaksud sumbangan wang tunai, nilaian emas atau yang seumpama dengannya seperti wang pos dan lain-lain.

    Wakaf pula merujuk kepada niat setiap pewakaf. Sumbangan wakaf ini daripada Wakaf Am dan Wakaf Khas. Wakaf Khas harus diagihkan mengikut niat pewakaf, manakala Wakaf Am membolehkan wakaf itu dimanfaatkan menurut Hukum Syarak.

    Sejak penubuhan PWS dari tahun 2011, sejumlah RM204 juta dana wakaf tunai diterima untuk diuruskan oleh PWS. Daripada jumlah tersebut, RM165 juta adalah Wakaf Khas dan RM39 juta adalah Wakaf Am.

    Sehingga September 2017, sejumlah 217 bentuk manfaat dan program, bersamaan RM107 juta dana wakaf tunai telah dimanfaatkan kepada masjid dan surau, institusi pendidikan dan tujuan kesihatan. Pecahan agihan manfaat tersebut secara amnya terdiri daripada 180 buah masjid dan surau, 49 buah institusi pendidikan serta pembelian 18 peralatan dan kelengkapan perubatan seperti klinik bergerak, mesin diálisis, mesin endoskopi dan lain-lain.

    Bentuk program yang dilaksanakan oleh PWS adalah seperti pembinaan baru/ semula masjid dan surau, baikpulih dan tambahan struktur bangunan termasuk institusi pendidikan. Wakaf Am ini dimanfaatkan juga dengan sumbangan di Islamic Centre University of Oxford berjumlah RM615 ribu, pembinaan escalator di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bernilai RM485 ribu. Tambahan, pembinaan Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dan Masjid An-Nur Glenmarie masing-masing dengan dana wakaf tunai berjumlah RM21 juta dan RM17 juta. Disamping itu, sejumlah lebih RM20 juta digunakan bagi pembinaan Madrasah Tahfiz Miftahul Ulum (MTMU), Hulu Langat di atas tanah wakaf yang bernilai RM5 juta. Pada masa yang sama, terdapat agihan manfaat yang bertujuan kesihatan. Sebanyak 3 klinik bergerak telah dibeli dan dibiaya dengan dana wakaf tunai. Klinik ini ‘mobile’ dan diselia oleh KPJ Hospital dan pernah ditempatkan di Kuala Krai, Kelantan bagi membantu mangsa musibah banjir. Sebanyak 16 buah mesin diálisis telah dibeli dan ditempatkan di pelbagai hospital dan pusat diálisis berjumlah RM40 ribu setiap satu.

    Sehubungan itu, adalah digalakkan umat Islam di Selangor khususnya, supaya dapat terus berwakaf sebagai satu ‘tool’ pembangunan ekonomi umat Islam amnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.