Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

134) PROGRAM VAKSIN SELANGOR (SELVAX)

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kos pembelian 2.5juta dos vaksin?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan dari Sungai Air Tawar (N01) No.131 (a) dan Kota Anggerik (N40) No. 183 (c). Maklumat bagi kos yang telah diperuntukkan bagi tujuan pembelian vaksin oleh Kerajaan Negeri melalui SELGATE Healthcare Sdn Bhd tidak dapat dimaklumkan kerana pihak SELGATE telah menandatangani “Non-Disclosure Agreement” berkenaan perkara ini bersama pihak pembekal iaitu Pharmaniaga.

  2. Mengikut perjanjian Kerajaan Negeri, apakah jadual penghantaran vaksin oleh pembekal?

    Untuk makluman Yang Berhormat, bermula 26 Jun 2021, penghantaran bekalan vaksin oleh pembekal adalah selang tiga (3) hari ke semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah program SELVAX.

  3. Apakah jumlah kos-kos lain untuk melaksanakan program SELVAX selain daripada kos pembelian vaksin?

    Program SELVAX terdiri daripada SELVAX Industri dan SELVAX Komuniti, di mana sebanyak 250,000 penerima di bawah Program SELVAX Komuniti akan menerima vaksinasi secara percuma manakala Program SELVAX Industri akan ditanggung oleh pihak majikan. Selain daripada kos vaksin itu sendiri, terdapat juga kos-kos lain yang perlu diambil kira dalam memastikan pelaksanaan program berjalan dengan lancar.  Antara kos lain yang terlibat adalah pembangunan sistem, penghantaran vaksin, pembayaran petugas sukarelawan, penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), penyediaan dewan-dewan komuniti, penyediaan makanan dan minuman petugas, logistik, insurans dan kos pelbagai.  Jumlah keseluruhan bagi kos-kos ini adalah bersamaan dengan RM38.08 per dos berbanding RM45.00 per dos yang dikenakan di bawah program Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Lampiran

Tiada Lampiran.