Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
5) PROGRAM TUISYEN RAKYAT SELANGOR (PTRS)
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapa jumlah pelajar dari DUN Bukit Lanjan yang terlibat dalam program Pusat Tuisyen Rakyat Selangor pada tahun 2024?
MBI Selangor merupakan sebuah badan yang ditubuhkan khusus untuk mentadbir pengurusan aset dan pelaburan milik Kerajaan Negeri serta mewakili Kerajaan Negeri dalam melaksanakan aktiviti berunsur perniagaan yang di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri. Selain itu, MBI juga berperanan mempromosi dan mendukung usaha pembangunan Negeri Selangor di samping melunaskan kewajipan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Sehubungan itu, MBI Selangor sentiasa melaksanakan peranan utama di dalam menyokong program-program amal dan kebajikan selaras dengan agenda Kerajaan Negeri Selangor. MBI Selangor sentiasa terbuka untuk menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak yang bertujuan untuk perkara-perkara kebajikan yang melibatkan pendidikan, pembangunan ummah dan komuniti, serta kelestarian hidup rakyat di Negeri Selangor.
Untuk rekod, pelbagai aktiviti dan program telah dilaksanakan dan memberi manfaat seperti program sumbangan Insentif Haji Muassasah, Program Sumbangan Bakul Makanan, Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), Platform Selangor (PLATS), Jelajah Kembali Ke Sekolah, Sumbangan Bencana Alam dan Musibah, Sumbangan Peranti kepada para pelajar B40, Sumbangan Sijil Simpanan Premium (SSP) kepada Mahasiswa, Sumbangan PIBG Sekolah, Sumbangan Pembaikan Infrastruktur Sekolah, Sumbangan Program Keagamaan, Sumbangan Program Masjid dan Surau, Sumbangan Program Perayaan Bukan Islam dan pelbagai lagi sumbangan yang pastinya dinikmati oleh rakyat Selangor.
Berikut adalah jumlah pelajar yang mengikuti Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kawasan DUN Bukit Lanjan bagi tahun 2024 :-
NO SEKOLAH BIL. PELAJAR TERIMA MODUL PTRS BIL. PELAJAR MENYERTAI KELAS TUISYEN PTRS 1 SMK Bandar Sri Damansara 1 236 35 2 SMK Bandar Sri Damansara 2 150 35 3 SMK Damansara Damai 1 333 35 4 SMK Kepong 384 35 5 SMK Taman Ehsan 314 35 Jumlah Keseluruhan 1,417 175 -
Adakah kerajaan negeri bekerjasama dengan mana-mana institusi pendidikan lain atau sektor swasta untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan di Pusat Tuisyen Rakyat Selangor?
Pihak MBI telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan Task Force PTRS yang dianggotai oleh para pegawai di JPN, pegawai Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) JAIS dan guru-guru di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang berkemahiran serta mempunyai pengalaman yang cukup luas di dalam bidang pendidikan.
-
Bagaimanakah kerajaan negeri mengukur keberkesanan Pusat Tuisyen Rakyat Selangor dalam meningkatkan pencapaian akademik pelajar? Adakah terdapat data konkrit mengenai peningkatan prestasi pelajar yang mengikuti program ini?
Keberkesanan program ini boleh dinilai melalui pencapaian peperiksaan pertengahan dan akhir tahun bagi semua pelajar yang terlibat serta akan direkodkan melalui sistem ePTRS (admin). Data ini kemudian akan dibandingkan dengan keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Untuk rekod, Gred Purata Negeri (GPN) bagi tahun 2023 adalah 4.67% berbanding pada tahun 2022 adalah 4.80% iaitu perbezaan peratusan adalah sebanyak 0.13%.
Pencapaian ini turut diukur berdasarkan kepada pencapaian layak sijil SPM sebagai contoh jumlah pelajar yang layak menerima sijil pada tahun 2023 adalah seramai 58,082 orang berbanding pada tahun 2022 seramai 56,402 orang iaitu perbezaan peratusan pada tahun 2023 sebanyak 91.14% berbanding tahun 2022 sebanyak 89.25% Ini membuktikan bahawa PTRS telah berjaya membantu meningkatkan pencapaian SPM di negeri Selangor.
Pihak Kerajaan Negeri Selangor melalui MBI juga telah menerima surat penghargaan daripada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor yang telah merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan di atas sokongan dan sumbangan Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan PTRS yang telah berjaya melonjakkan pencapaian SPM negeri Selangor bagi tahun 2023.
Bahkan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek turut memberikan pengiktirafan kepada PTRS yang telah melonjakkan keputusan SPM pada tahun 2023 ketika ucapan beliau dalam Majlis Tekad Reformasi Pendidikan di Kajang pada Oktober 2024.