Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

285) PROGRAM TUISYEN RAKYAT NEGERI SELANGOR (PTRS)

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kaedah penilaian prestasi bagi pelajar yang terlibat dengan PTRS?

    Untuk makluman, setiap sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah mempunyai sorang pegawai penyelaras yang dipertanggungjawabkan untuk membuat pemantauan prestasi pelajar PTRS.

    Pemantauan prestasi yang utama bagi pelajar PTRS adalah melalui keputusan peperiksaan utama iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan dikumpulkan dan dianalisa oleh penyelaras sekolah. Melalui keputusan peperiksaan tersebut juga, Kerajaan Negeri membuat penambahbaikan bagi PTRS seperti penambahan modul pada tahun-tahun akan datang sekiranya terdapat keperluan.

    Selain daripada peperiksaan utama, pihak sekolah melalui penyelaras juga melaksanakan penilaian pelajar dari masa ke semasa melalui pemantauan di dalam kelas dan keputusan peperiksaan atau ujian sekolah secara berkala.

  2. Apakah kaedah pemantauan yang dibuat Kerajaan Negeri terhadap program PTRS?

    Untuk makluman, pelaksanaan secara operasi PTRS telah dilaksanakan melalui sistem e-PTRS dimana setiap guru yang dilantik perlu memasukkan kehadiran pelajar-pelajar setiap kali kelas PTRS berjalan. Pihak urus setia di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan memantau pelaksanaan melalui rekod bilangan kehadiran pelajar ke kelas tuisyen di dalam sistem tersebut.

    Keberkesanan diukur dengan cara pemantuan peningkatan kehadiran para pelajar dari masa ke semasa. Selain itu, pemantauan dan penambahbaikan program bersama semua guru-guru PTRS juga sentiasa dilaksanakan secara berterusan.

  3. Adakah Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan kembali jawatan KPMI?

    Koordinator Pembangunan Modal Insan (KPMI) merupakan jawatan yang diwujudkan semasa PTRS dilaksanakan di Pusat Khidmat Masyarakat tanpa melibatkan guru penyelaras di setiap sekolah. Sejak pelaksanaan PTRS dijalankan di sekolah, jawatan KPMI diambil alih oleh penyelaras sekolah dengan bidang tugas yang sama.

Lampiran

Tiada Lampiran.