Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
288) PROGRAM TUISYEN PERCUMA ATAS TALIAN
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Setelah RM10 juta dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri untuk menjalankan program tuisyen percuma secara atas talian kepada rakyat Selangor, berapakah peratusan pelajar yang telah melanggan program ini khususnya di DUN Jeram?
MBI telah memperuntukkan sebanyak RM7 juta bagi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) untuk tahun 2023. Bagi tahun 2024 pula, MBI juga memperuntukkan dana sebanyak RM7 juta manakala Kerajaan Negeri memperuntukkan dana sebanyak RM3 juta menjadikan jumlah keseluruhan dana PTRS bagi tahun 2024 berjumlah RM10 juta.
Untuk makluman, seramai 65 ribu pelajar SPM di Selangor yang telah menerima modul PTRS. Manakala jumlah pelajar SPM yang menyertai tuisyen di bawah PTRS adalah seramai 8,435 pelajar di mana pelajar ini dipilih berdasarkan had pendapatan ibu bapa di bawah RM5 ribu sebulan.
Program tuisyen percuma secara dalam talian boleh diakses menerusi laman web, www.eptrs.com.my. Laman web ini mengandungi video-video pembelajaran, video pecutan akhir SPM, modul-modul subjek PTRS dan soalan-soalan ramalan SPM yang mengikut silibus terkini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Peruntukan bagi tahun ini untuk tujuan penyelenggaraan dan penambaikan laman web adalah sekitar RM400 ribu.
Seramai 1,178 pelajar SPM di DUN Jeram terlibat dengan PTRS dan daripada jumlah itu seramai 188 pelajar telah menyertai secara aktif laman web ePTRS.
-
Sejauh manakah keberkesanan boleh-ukur bagi program tuisyen ini terhadap murid-murid yang menyertainya sehingga hari ini?
Keberkesanan program ini boleh dinilai melalui pencapaian peperiksaan pertengahan dan akhir tahun bagi semua pelajar yang terlibat serta akan direkodkan melalui sistem ePTRS (admin). Data ini kemudian akan dibandingkan dengan keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Untuk rekod, seramai 225 pelajar PTRS SPM tahun 2022 di Selangor telah mencapai gred 8A dan ke atas. Daripada jumlah tersebut seramai 89 pelajar SPM telah berjaya mencapai Straight A’s (8A ke atas) dan seramai 15 pelajar SPM telah berjaya mencapai Straight A+ (8A ke atas). Mereka ini telah diraikan di dalam satu majlis apresiasi pada 27 Julai 2023 di Universiti Putra Malaysia dan telah menerima insentif sebanyak RM500 seorang sebagai tanda penghargaan daripada Kejayaan Negeri atas pencapaian mereka.
Pencapaian ini turut diukur berdasarkan kepada pencapaian layak menerima sijil SPM. Sebagai contoh, jumlah pelajar yang layak menerima sijil pada tahun 2022 adalah seramai 56,402 orang berbanding pada tahun 2021 seramai 55,626 orang, iaitu perbezaan peratusan pada tahun 2022 sebanyak 89.25% berbanding tahun 2021 sebanyak 85.60%. Peningkatan peratusan ini membuktikan bahawa PTRS telah berjaya membantu meningkatkan pencapaian SPM di negeri Selangor.