Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
193) PROGRAM SMART SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah Kerajaan Negeri Selangor berpuas hati dengan program Smart Selangor setakat ini?
Program Smart Selangor telah mula memberikan beberapa kesan positif kepada sistem penyampaian kerajaan negeri bagi memastikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
Pendekatan yang diambil untuk menjayakan inisiatif di bawah Smart Selangor bermula dengan pembangunan konsep dan ide beberapa smart solutions yang dirangka bersama dengan agensi atau PBT untuk bagi menangani permasalahan yang dihadapi rakyat. Smart solutions ini kemudiannya akan diuji menerusi beberapa projek perintis (pilot projects) bersama beberapa kumpulan sasar di PBT mahupun agensi untuk satu tempoh masa yang ditentukan. Sekiranya projek perintis ini berjaya menepati beberapa piawaian utama yang ditetapkan dan berkesan, maka penggunaan smart solutions ini akan dikembangkan ke kawasan yang lebih luas atau ke seluruh negeri Selangor. Kejayaan penggunaan smart solutions ini bukan sahaja terletak kepada kecanggihan teknoloji yang diuji tetapi juga kepada kemudahan penggunaannya dan penerimaan oleh rakyat.
Di antara contoh yang boleh dinyatakan adalah pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Klang dan Ampang Jaya di mana jumlah aduan kutipan telah berjaya dikurangkan secara mendadak selepas 3 bulan beroperasi menerusi sistem iClean, serta pengurusan pelaporan jalan berlubang yang dijalankan menerusi aplikasi Waze di mana pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Klang telah mencatatkan pencapaian hampir 90% dalam memperbaiki masalah jalan berlubang yang dilaporkan oleh para pengguna.
Kejayaan kedua-dua program ini amat bergantung kepada jumlah pelaporan yang dibuat oleh rakyat menerusi aplikasi iClean dan Waze yang menggunakan telefon pintar berasaskan konsep crowdsourcing dan mass collaboration yang berterusan di antara rakyat dan kerajaan.
-
Apakah program yang telah berjalan?
Aktiviti utama pada tahun 2016 adalah penyediaan Blueprint Smart Selangor yang kini sedang dikemaskini dengan mengambilkira beberapa inisiatif terkini di peringkat negeri. Blueprint ini bakal siap pada hujung tahun 2017.
Untuk tahun 2016 dan 2017 juga, beberapa projek perintis telah dilaksanakan di bawah program Smart Selangor yang merangkumi beberapa domain di bawah 12 domain utama.
Projek-projek perintis ini adalah:
- Projek perintis Pengurusan Sisa Pepejal di Majlis Perbandaran Klang pada 1 Julai 2016 menerusi KDEB Waste Management Sdn Bhd. Pihak kerajaan amat berpuashati dengan kejayaan projek ini dan telah bersetuju untuk mengembangkan perkhidmatan ini kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Selayang pada 1 Mac 2017.
- Program pelaporan potholes menggunakan aplikasi Waze di antara 7 PBT (iaitu MBPJ, MBSA, MPK, MPAJ, MPKj, MPS dan MPSJ) dan MBI. Program ini telah dijalankan secara tersusun bermula Januari 2017. Pihak SSDU juga telahpun membina sebuah paparan analytics yang akan mempercepatkan lagi operasi pembaikan potholes ini bagi pihak PBT.
- Program pembangunan aplikasi pekongsian ide di antara rakyat dan kerajaan yang sedang di uji di tiga buah DUN iaitu Kajang, Sungai Pinang dan Seri Setia bermula Mei 2017.
- Pembangunan aplikasi yang akan membolehkan pelaporan lampu isyarat jalanraya yang bermasalah di negeri Selangor yang dijangka siap pada bulan September 2017.
- Projek perintis Safe Community yang akan dilangsungkan bersama jawatankuasa penduduk dan MBPJ di SS 21 Damansara Utama pada bulan Oktober 2017.
- Program pembangunan Smart Selangor Commad Centre di Plaza Perangsang yang akan dioperasikan pada bulan Ogos 2017 oleh SSDU bersama beberapa agensi utama seperti Unit Pengurusan Bencana, PBT dan KDEB Waste Management.
- Projek pembangunan aplikasi waktu ketibaan bas Smart Selangor di perhentian bas Smart Selangor yang akan siap pada bulan Ogos 2017 di beberapa laluan terpilih di PBT.
- Pembangunan sistem Internet of Things bagi mengukur Air Quality Index secara real-time yang akan dioperasikan di 80 lokasi terpilih seluruh negeri Selangor. Sistem ini akan dilancarkan secara berperingkat bermula Ogos 2017.
-
Apakah perancangan jangka panjang program ini?
Visi Smart Selangor adalah untuk Selangor mencapai taraf Smart State terunggul di ASEAN pada tahun 2025. Smart State yang bakal dicapai adalah sebuah negeri yang mempunyai sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dan pengurusan maklum balas rakyat yang baik, ekonomi yang terus berkembang menerusi bidangbidang ekonomi baru, mampu menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat, berupaya membangunkan infrastruktur baru dan keupayaan sumber tenaga manusia yang akan terus memacu pembangunan negeri, dan mendokong prinsip keadilan sosial (social justice) dalam perlaksanaan polisi negeri untuk memastikan kualiti hidup yang lebih baik untuk rakyat.
Projek-projek perintis yang menguji beberapa smart solutions wajar diperbesarkan dan digunapakai di lebih banyak tempat di negeri Selangor sekiranya berkesan dan berjaya. Kesan positif daripada penggunaan smart solutions ini akan menjadi lebih nyata sekiranya pihak kerajaan dapat memastikan penggunaan yang lebih menyeluruh dengan penglibatan lebih ramai rakyat. Perlu ditegaskan bahawa program Smart Selangor ini bukan hanya tertumpu kepada pembangunan dan penggunaan teknoloji canggih terkini sahaja tetapi juga memastikan bahawa teknoloji ini akan memberi kemudahan dan diterima oleh rakyat.
Pada akhirnya, data yang dikumpulkan daripada saluran Smart Selangor ini akan digunapakai untuk menjana dasar-dasar kerajaan yang lebih ke hadapan berdasarkan fakta dan angka-angka terkini.
Dalam masa terdekat ini, kerajaan negeri, menerusi beberapa anak syarikat milik negeri sedang meneliti beberapa inisiatif green field, di mana beberapa Smart Cities dan Smart Township bertaraf antarabangsa akan diwujudkan untuk memperhebatkan lagi penggunaan dan pembangunan teknoloji Smart Cities terkini di samping mewujudkan Smart Communities yang akan memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi untuk negeri Selangor. Dalam kata lain sesuai dikatakan bahawa inisiatif Smart Selangor ini juga akan menjadi pelan pembangunan ekonomi untuk negeri Selangor.
Kejayaan mencapai taraf Smart State ini bukan sahaja akan meletakkan negeri Selangor standing dengan Smart State dan Smart Cities lain di dunia malah ianya juga akan membina keupayaan kerajaan dalam merangaka dasar-dasar ke hadapan berdasarkan angka dan fakta yang lebih tepat serta menjanjikan taraf kehidupan dan punca pendapatan yang lebih memartabatkan untuk rakyat negeri Selangor.