Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
42) PROGRAM SELANGOR MARITIME GATEWAY
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah program pembangunan ekonomi dan tarikan pelancong di sepanjang Jajaran Sungai Klang Fasa 1 dan 2?
Jawapan Sub Soalan A dan B:
Projek pembangunan ekonomi di bawah Projek Selangor Maritime Gateway melibatkan empat (4) pemacu ekonomi utama iaitu pembersihan, river connectivity, pembangunan dan juga pemuliharaan.
1- Pembersihan:-
Bagi memastikan keadaan di Sungai Klang bebas dari masalah sampah terapung, inisiatif pembersihan sungai akan terus dilaksanakan dan beberapa aktiviti/ inisiatif baru yang terangkum di dalam pembersihan seperti pelaksanaan program waste to fuel, aktiviti pertanian bandar (urban farming) dan pemasangan monopole bagi tujuan pemantauan dan keselamatan akan mula dilaksana menjelang separuh pertama 2021.
2- River connectivity:-
Bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi di sepanjang Sungai Klang yang kini lebih bersih dari tahun-tahun sebelumnya, pihak LLSB dan Tourism Selangor selaku Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri Selangor akan bersama-sama membangunkan perkhidmatan pengangkutan air terbaharu di Sungai Klang yang dikenali sebagai ‘water taxi’ atau teksi air menjelang suku pertama 2021. Perkhidmatan teksi air ini sekali gus akan menyokong pertumbuhan ekonomi setempat menerusi pembangunan infrastruktur sungai.
3- Pembangunan:-
Pembangunan lima projek pemangkin sedang giat dilaksanakan. Projek penambahbaikan Taman Awam Pangkalan Batu dan pembangunan Taman Rekreasi Mangrove Point telah mula dilaksanakan dan kedua-duanya dijangka siap masing-masing pada bulan Disember 2020 dan suku ke-2 2021. Selain dari itu, isu berkaitan pemberimilikan tanah bagi pembangunan projek Grand Bazaar (GB) di Tanjung Syawal, dan Cultural Village & Retreat Resort (CV) di Telok Pulai, Klang telah selesai dan kini kedua-dua projek sedang dalam proses penilaian terperinci dan dijangka akan dimuktamadkan menjelang suku ke-2 2021.
Pembangunan berorientasikan sungai yang melibatkan pembinaan kira-kira 1,940 unit kediaman termasuklah 775 unit rumah mampu milik (40% daripada jumlah unit) dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar Minimum berjumlah RM827 juta akan dibangunkan di Seksyen 24, Shah Alam. Kerja-kerja perancangan akan dilaksanakan pada separuh pertama 2021 dan dikuti oleh kerja-kerja pembinaan menjelang separuh kedua 2021.
4- Pemuliharaan:-
Komponen utama di bawah Projek SMG adalah pemuliharaan secara komprehensif, melibatkan pembinaan loji rawatan air (“LRA”) di Sungai Klang dimana objektif utama yang disasarkan adalah untuk meningkatkan tahap kualiti air di Sungai Klang dengan menangani isu pencemaran tidak tetap (non-point source).
Kini, pihak LLSB sedang dalam peringkat akhir perancangan di mana kajian pra-kebolehlaksanaan (pre-feasibility study) berkaitan pembinaan LRA di Sungai Klang melibatkan aspek teknikal, kewangan dan komersil telah dilaksanakan.
Dalam pada itu, pelan tindakan pelaksanaan Polisi Pelepasan Sifar (Zero Discharge Policy) bagi menangani isu pencemaran tetap (point source) telah diperhalusi dan diperinci di peringkat LLSB dan Lembaga Urus Air Selangor.
-
Apakah impak dan manfaat ekonomi yang bakal diterima oleh penduduk berhampiran kawasan Projek SMG?
Rujuk jawapan di Sub Soalan A
-
Bilakah projek ini dijangka siap sepenuhnya?
Kesemua projek dibawah empat (4) pemacu ekonomi utama SMG dijangka akan siap sepenuhnya menjelang 2025 dan ini akan merealisasi dan mentransformasi Sungai Klang sebagai the Center of Economic Growth.