Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

5) PROGRAM SARING SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jenis-jenis penyakit yang telah dikenalpasti dalam program Saring Selangor setakat ini ?

    Soalan ini dijawab bersekali dengan soalan No. 42 (a) Bukit Lanjan dan soalan No.307 Rawang (a) dan (b) yang bertanyakan soalan berkenaan Program Selangor Saring.

    Sebagaimana Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, pemeriksaan kesihatan boleh membantu mengesan penyakit tertentu pada peringkat yang lebih awal. Banyak kajian telah menunjukkan beberapa manfaat saringan awal kesihatan seperti

    1. i) membantu individu mengetahui tahap kesihatan diri dan mengesan sebarang abnormaliti lebih awal;
    2. ii) memberikan individu dan doktor lebih banyak masa untuk merancang rawatan terbaik untuk penyakit tersebut;

    iii) membantu individu mendapatkan rawatan yang lebih awal bagi meningkatkan peluang untuk sembuh; dan

    1. iv) membantu meningkatkan kualiti kesihatan dan kelangsungan hidup individu.

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat juga, sekiranya individu tersebut melakukan sekali sahaja ujian saringan, maklumat yang akan diketahui adalah berkaitan kesihatan semasa sahaja. Namun, jika saringan kesihatan ini diadakan secara berkala dan kerap, maka ia akan membantu doktor mengesan sebarang keadaan abnormal yang mungkin baru terjadi atau semakin teruk berbanding pemeriksaan yang dilaksanakan sebelum itu.

    Justeru, pengenalan Program Selangor Saring bermula pada tahun ini merupakan langkah yang tepat dalam meningkatkan kesedaran awam akan kepentingan menjalani saringan kesihatan awal dan saringan secara berkala.

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhomrat, program Selangor Saring menawarkan saringan-saringan seperti berikut:

     

    1. Saringan bagi penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, darah tinggi dan buah pinggang.

     

    1. Saringan bagi 4 jenis kanser:-

     

    1. Kanser Payudara:
    • Ujian mammogram/ultrasound/biopsi di hospital panel selepas mendapat tarikh temujanji melalui aplikasi Selangkah.

     

    1. Kanser Serviks:
    • Pemberian dan cara penggunaan Human Papillomavirus (HPV) swab kepada pesakit untuk pengambilan sampel di tapak dan dihantar ke makmal untuk ujian.

     

    • Kanser Kolorektal:
    • Pengambilan sampel najis (IFOBT) oleh pesakit dan di hantar ke makmal.

     

    1. Kanser Prostat:
    • Pengambilan sampel darah dan melakukan ujian Prostate Specific Antigen (PSA) di makmal

     

    1. Saringan pemeriksaan mata seperti rabun, glaukoma dan

    Bermula 21 Mei sehingga 17 Julai 2022, sebanyak 27 Dun telah terlibat bagi program ini dengan sejumlah 7,422 sampel (uijian darah dan ujian air kencing) telah dianalisis manakala sebanyak 1,528 sampel bagi saringan kanser. Daripada jumlah 1,528 sampel tersebut, sebanyak 25 sampel (1.6 peratus) telah didapati positif. Kanser kolorektal mencatatkan peratusan positif tertinggi iaitu sebanyak 5.19 peratus manakala kanser serviks adalah terendah iaitu 1.07 peratus. Perincian keseluruhan saringan adalah seperti di Lampiran.

     

    Untuk makluman Yang Berhormat, program Saring Selangor dilaksanakan di kesemua 56 Dun bagi membolehkan lebih ramai rakyat menerima manfaat melalui program ini. Bagi menyertai program ini, orang awam digalakkan melakukan pra-pendaftaran di aplikasi Selangkah dan menjawab kesemua soalan yang diberikan. Langkah ini bertujuan mengetahui sejarah kesihatan individu dan jenis saringan yang sesuai dijalankan semasa hari saringan.

     

    Selepas itu, baucar saringan akan diberikan berdasarkan jawapan yang telah lengkap dijawab dan baucar tersebut perlu dikemukakan kepada petugas saringan. Pemohon juga mempunyai pilihan bagi memilih tarikh dan tempat saringan pada aplikasi Selangkah. Bagi individu yang tidak mempunyai akses telefon bimbit atau mengalami masalah teknikal, mereka boleh mendaftar secara walk in dan melengkapkan pendaftaran secara manual di tapak saringan.

  2. Apakah langkah susulan yang diberikan kepada peserta program Saring Selangor selepas menerima keputusan pemeriksaan kesihatan?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan No.307 Rawang (N14) (c). Dalam memastikan kelancaran pesakit mendapatkan rawatan susulan selepas menjalani program Saringan Kanser, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan beberapa buah hospital panel di bawah program ini. Justeru, pesakit yang telah dikenal pasti positif pada peringkat saringan awal yang telah dilakukan, akan dirujuk ke hospital panel untuk mendapatkan prosedur lanjut susulan daripada pakar perubatan sehingga ke peringkat pengesahan akhir penyakit secara percuma.

Lampiran

Tiada Lampiran.