Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
153) PROGRAM REKALIBRASI TENAGA KERJA (KERAJAAN PUSAT)
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejauh mana penglibatan Kerajaan Negeri dalam program tersebut?
Untuk makluman Yang Berhormat Kota Damansara, Program Rekalibrasi Tenaga Kerja merupakan inisiatif Kerajaan Pusat untuk menangani isu warganegara asing yang bekerja di dalam negara. Program ini melibatkan dua agensi utama iaitu Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen yang berperanan mengurus setiap permohonan oleh pihak majikan. Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor bertanggungjawab untuk memastikan setiap majikan yang menyertai program ini memenuhi syarat-syarat antaranya seperi berikut:
- Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia;
- Memiliki atau wujud premis tempat pekerjaan;
- Ada pekerjaan yang ditawarkan; dan
- Menyediakan penginapan pekerja mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.
Oleh yang demikian, memandangkan program rekalibrasi tenaga kerja adalah inisiatif kerajaan pusat, maka ia melibatkan akta parlimen di mana penglibatan Kerajaan Negeri adalah menjadi kurang relevan di dalam banyak perkara. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 18 Ogos 2021 secara dasarnya telah mewujudkan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) bagi merapatkan jurang di antara jabatan dan agensi kerajaan persekutuan dan negeri. Dengan perwujudan ini, kami percaya dalam masa akan datang akan wujudnya lebih banyak peluang dan ruang kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk terlibat di dalam perancangan program-program persekutuan.