Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

23) PROGRAM-PROGRAM KERAJAAN BAJET 2017

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan dengan Skim Smart-Sewa dan rancangan seterusnya? Sila senaraikan nombor unit yang diberi oleh Kerajaan di bawah skim ini dan lokasi unit-unit ini.

    Di bawah Skim Smart Sewa terdapat 4 buah projek yang melibatkan 100 unit rumah telah disediakan di bawah program Skim Smart Sewa untuk di sewakan kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Daripada jumlah tersebut, dua (2) projek iaitu Pangsapuri Tun Teja, Alam Impian dan Pangsapuri @ Jalan Keretapi Lama, Klang telah dimula disewakan kepada pemohon yang layak mulai 1 September 2016. Manakala 2 projek lagi masih belum boleh disewakan sehingga penyerahan unit dibuat oleh pemaju. Projek-projek yang terlibat adalah seperti berikut:

     

    BIL PROJEK UNIT
    1. Pangsapuri Tun Teja, Alam Impian, Shah Alam 5 Unit
    2. Pangsapuri Seroja, Setia  Alam 20 Unit
    3. Pangsapuri  Arista, Bandar Parklands, Klang 11 Unit
    4. Pangsapuri @ Jalan Keretapi Lama, Taman Sementa Bestari 64 Unit

     

    JUMLAH 100  unit

    (sumber dari Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS))

    Selain itu, Program Skim Smart Sewa ini juga diteruskan lagi melalui Bajet 2017 dengan pembelian Rumah Selangorku jenis  B, C dan D bermula dari harga RM100,000.00 seunit sehingga RM250,000.00 seunit  dengan  menggunakan peruntukan di bawah Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera & Pengecualian Sumbangan Pembinaan Rumah Kos Rendah, Kos Sederhana Rendah Dan Rumah Kos Sederhana berjumlah RM100 juta. Senarai projek yang dicadangkan untuk pembelian bagi 6 bulan pertama sejumlah 56 juta melibatkan sebanyak 290 unit seperti berikut:

     

    BIL NAMA PROJEK LOKASI JENIS HARGA (RM) BIL. UNIT
    1. De Kiara Setia Alam Jenis C 180,000 30 Unit
    2. De‘ Bayu Setia Alam Jenis D 220,000 30 Unit
    3. Bdr. Bukit Raja 17B Bdr. Bukit Raja Jenis C 180,000 50 Unit
    4. Apartment Trifolis Botanic, Klang Jenis D 250,000 30 Unit
    5. Jade Hill Kajang Jenis B 100,000 10 Unit
    6. Jade Hill Kajang Jenis C 180,000 10 Unit
    7. Jade Hill Kajang Jenis D 220,000 30 Unit
    8. Bandar Rimbayu K.Langat Jenis B 100,000 50 Unit
    9. Bdr. Seri Coalfieds Ijok Jenis D 180,000 20 Unit
    10 Tanming Mutiara Cheras Jenis D 250,000 30 Unit
    JUMLAH UNIT KESELURUHAN 290 UNIT

    (sumber dari Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS))

  2. Apakah perkembangan dengan Institut Wanita Berdaya (IWB)? Senaraikan barisan pemimpin institut ini.

    Kerajaan Negeri amat prihatin dan komited dalam menerajui hal ehwal wanita di Negeri Selangor. Dalam urusan berkaitan dengan isu dan permasalahan wanita, maka Institut Wanita Berdaya (IWB) yang telah ditubuhkan berperanan sebagai badan pemikir atau think tank yang lebih progresif demi mempertahankan martabat dan kemuliaan wanita sebagai agen pelaksana dalam pembangunan Negeri Selangor. Institut Wanita Berdaya (IWB) mempunyai seorang Penasihat yang telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu Yang Berhormat Zuraida Binti Kamaruddin, Ahli Parlimen Ampang. Manakala dua orang Ahli Lembaga Pengarah adalah Yang Berhormat Dr. Daroyah Binti Alwi, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga merangkap ADUN Sementa dan Yang Berhormat Haniza Binti Mohamed Talha, ADUN Taman Medan. Puan Rabiah Binti Omar pula telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif IWB. Beliau merupakan mantan Pengurus Besar Ericsson Malaysia Sdn Bhd dan mantan Pengarah Eksekutif AWAM (All Women’s Action Society), sebuah NGO yang memperjuangkan hak-hak wanita.

  3. Apakah perkembangan dengan Early Intervention Programme (EIP)?

    Menerusi ucapan Pembentangan Belanjawan 2017 yang diumumkan pada 30 Oktober 2016 yang lalu, Kerajaan Negeri telah menyediakan sejumlah RM3 juta untuk membantu institusi dan badan kebajikan yang menjalankan Early Intervention Programme (EIP) di Negeri Selangor. Setakat ini, Kerajaan Negeri telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM350,000.00 kepada 4 buah institusi pendidikan khas yang telah dikenalpasti menyediakan terapi dan pendidikan.  Melalui penyaluran peruntukan ini,  institusi dan badan kebajikan berkenaan perlu menyediakan keperluan dan kemudahan pendidikan kepada kanak-kanak yang berkeperluan khas di samping dapat membantu ibu bapa mengambil langkah awal untuk mengelakkan berlakunya masalah sampingan pada keadaan fizikal anak-anak mereka di masa akan datang.

    Sebagai makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Program Intervensi Awal Kanak-kanak (Early Intervention Programme – EIP) adalah dikhususkan kepada kanak-kanak yang berkeperluan khas dan yang telah dikenalpasti mengalami kelambatan atau ketidakupayaan dari sudut perkembangan kanak-kanak. Melalui program ini, pelbagai jenis pendidikan dan terapi seperti physiotherapy, occupational therapy, speech therapy dan hydrotherapy akan disediakan bagi membantu kanak-kanak ini beradaptasi dalam masyarakat tanpa rasa tersisih dengan kebolehan dan potensi yang terdapat pada diri mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.