Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
01 November 2019 hingga 13 November 2019
135) PROGRAM-PROGRAM INSENTIF PEDULI RAKYAT (IPR)
Tahun: 2019
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Status program IPR terkini dan kewangan yang telah dibelanjakan untuk tahun ini.
Sebagaimana Yang Berhormat telah maklum bahawa Kerajaan Negeri telah melaksanakan penjajaran ke atas program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi memastikan pendekatan yang lebih holistik dan tidak hanya menyajikan pemberian bantuan kebajikan dan simpati semata-mata tetapi memberi daya melalui pemerkasaan kepada para penerima manfaat IPR di Selangor. Dengan erti kata lain, pelaksanaan program IPR pada masa hadapan akan lebih strategik dan memberi impak kepada golongan sasar yang lebih tepat dan amat memerlukan.
Untuk makluman Yang Berhormat, penjajaran program IPR yang telah bermula secara berperingkat sejak Februari 2019 ini dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020. Antara program IPR yang telah dijajarkan dan sedang dilaksanakan pada tahun ini ialah Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Peduli Sihat, Hadiah Pengajian IPT, Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS), Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan Program Jom Shopping.
Secara keseluruhannya, jumlah dana yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk semua program IPR pada tahun 2019 adalah berjumlah RM485,435,000.00 (Ringgit Malaysia: Empat Ratus Lapan Puluh Lima Juta Empat Ratus Tiga Puluh Lima Ribu). Peruntukan ini adalah termasuk dengan peruntukan tambahan bagi tahun 2019 iaitu sebanyak RM123,815,000.00 (Ringgit Malaysia: Satu Ratus Dua Puluh Tiga Juta Lapan Ratus Lima Belas Ribu).
Jumlah perbelanjaan ke atas pelaksanaan program-program IPR bermula bulan Januari sehingga 30 September 2019 adalah berjumlah RM212,650,887.69 (Ringgit Malaysia: Dua Ratus Dua Belas Juta Enam Ratus Lima Puluh Ribu Lapan Ratus Lapan Puluh Tujuh dan Enam Puluh Sembilan Sen), iaitu 43.8% daripada jumlah peruntukan yang diterima.
MAKLUMAT TAMBAHAN
Dari bulan Oktober sehingga Disember 2019, dianggarkan perbelanjaan bagi pelaksanaan program-program IPR adalah sebanyak RM87,483,349.03 (Ringgit Malaysia: Lapan Puluh Tujuh Juta Empat Ratus Lapan Puluh Tiga Ribu Tiga Ratus Empat Puluh Sembilan dan Tiga Sen), menjadikan anggaran perbelanjaan sepanjang tahun 2019 berjumlah RM300,134,236.72 (Ringgit Malaysia: Tiga Ratus Juta Satu Ratus Tiga Puluh Empat Ribu Dua Ratus Tiga Puluh Enam dan Tujuh Puluh Dua Sen), iaitu 61.8% daripada jumlah peruntukan tahun 2019.
-
Status program IPR terkini dan kewangan yang telah dibelanjakan untuk tahun ini.
Seperti Yang Berhormat sedia maklum, program-program IPR yang telah dijajarkan masih diteruskan pada tahun 2019 secara berperingkat sehingga selesai kesemuanya pada tahun 2020. Antara program IPR yang telah dilaksanakan pada tahun 2019 ialah Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Peduli Sihat, Hadiah Pengajian IPT, Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS), Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan Program Jom Shopping. Selain itu, mulai 1 Mac 2020, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Skim Air Darul Ehsan yang merupakan penjajaran semula Program Bekalan Air Percuma 20 Meter Padu. Pada masa sekarang, pihak Air Selangor sedang giat melakukan pendaftaran untuk pelaksanaan Skim Air Darul Ehsan.
-
Apakah justifikasi pemberian air percuma akan dinikmati hanya kepada pendapatan isi rumah RM4000 ke bawah?
Untuk makluman Yang Berhormat, Program Pemberian Air Percuma 20 meter padu yang dilaksanakan bermula pada 01 Jun 2008 adalah bertujuan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat untuk semua lapisan masyarakat khususnya kepada golongan berpendapatan rendah di seluruh Selangor. Namun demikian, Kerajaan Negeri memperluaskan pemberian kemudahan ini kepada semua penduduk Negeri Selangor tanpa mengira lapisan masyarakat dan pendapatan selagi mereka merupakan pengguna domestik yang menggunakan meter individu. Justeru itu, Skim Air Darul Ehsan yang diperkenalkan pada tahun ini adalah untuk memastikan penyaluran subsidi yang lebih fokus kepada golongan sasar khususnya kepada golongan berpendapatan isi rumah tidak lebih RM4,000 di seluruh Selangor dalam usaha untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup golongan ini.