Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

95) PROGRAM PEMUTIHAN KILANG TANPA KEBENARAN

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Perincikan kilang tanpa kebenaran di atas tanah milik kerajaan dan persendirian di Pejabat Daerah dan Tanah yang telah membuat permohonan, berjaya diputihkan, gagal diputihkan dan yang baharu dikenal pasti selepas tamat tempoh program pemutihan dari September 2020 sehingga Mei 2022.

    Untuk makluman Yang Berhormat Banting, Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) telah mula dilaksanakan pada 31 Julai 2006, dan disambung sebanyak tujuh (7) kali sehingga 31 Disember 2020. Berdasarkan rekod mesyuarat jawatankuasa KTK peringkat negeri yang telah diadakan pada 22 Mac 2021, sepanjang tempoh pelaksanaan Program Pemutihan KTK melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor Bilangan 2/2019 sejak 1 Oktober 2019 sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 363 permohonan tukar kategori dan syarat nyata tanah telah diterima di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di mana sebanyak 196 permohonan telah diluluskan. Namun, jumlah permohonan tersebut adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah senarai inventori KTK pada masa itu yang merangkumi 4,728 lot tanah atau 5,755 buah kilang yang telah dibanci oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    Untuk makluman, tiada bancian baru secara keseluruhan yang dibuat oleh PDT atau PBT selepas Program Pemutihan KTK telah tamat. Namun demikian, data mengenai jumlah permohonan tukar syarat yang berkaitan yang diterima, diluluskan, ditolak dan diproses, serta senarai inventori KTK telah dikemas kini secara berkala oleh PDT dan PBT, dengan diselaraskan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) melalui mesyuarat jawatankuasa KTK peringkat negeri.

    Setakat Jun 2022, terdapat 5,618 lot tanah atau 7,015 buah kilang yang telah dibanci oleh PBT, manakala sejumlah 345 permohonan tukar syarat telah diluluskan oleh PDT dengan kerjasama PBT berbanding 411 permohonan yang telah diterima di bawah program KTK. Jadual A memperincikan maklumat berkaitan permohonan tukar kategori dan syarat tanah di bawah Program Pemutihan KTK yang dikemas kini mengikut daerah.

  2. Perincikan kilang tanpa kebenaran yang telah berjaya diputihkan, gagal diputihkan dan yang baharu dikenal pasti selepas tamat tempoh program pemutihan dari September 2020 sehingga Mei 2022 di setiap Pihak Berkuasa Tempatan.

    Jadual B pula merupakan perincian maklumat berkaitan senarai inventori KTK yang dikemas kini mengikut daerah dan PBT sehingga Jun 2022.