Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
257) PROGRAM PEMUTIHAN KILANG TANPA KEBENARAN
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah isu dan masalah yang dihadapi untuk melaksana program tersebut?
Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran telah dilaksanakan bermula tahun 2006. Antara isu dan masalah yang dihadapi oleh Pejabat Tanah Daerah (PTD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Teknikal yang lain semasa melaksanakan Program tersebut adalah seperi berikut:
- Pemilik tanah dan pengusaha kilang tidak memohon meminda dan tukar syarat tanah walaupun telah diberi insentif pengurangan premium untuk menyertai Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran.
- Pemilik tanah memberi alasan bahawa mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pinjaman bank bagi menyelesaikan bayaran premium tambahan.
- Pemilik tanah dan pengusaha kilang tidak mengambil langkah untuk memulihkan perlanggaran syarat yang telah dilakukannya kerana tindakan penguatkuasaan tidak dilaksanakan walaupun mereka tidak menyertai Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran
-
Berapakah nilai perolehan dari kilang-kilang yang berjaya diputihkan sejak 2008 hingga 2013?
Untuk makluman Yang Berhormat, kutipan bayaran premium sepanjang tahun 2006 sehingga tahun 2013 adalah sebanyak RM190,280,169.81.
-
Nyatakan anggaran kerugian perolehan Kerajaan Negeri dari kilang-kilang yang masih beroperasi tanpa kebenaran tersebut?
Buat masa ini, pihak Kerajaan Negeri tidak dapat membuat anggaran kerugian ke atas hasil yang tidak dapat dikutip memandangkan setiap nilaian tanah perlu dirujuk kepada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) untuk dinilai dan keluasan tanah pertanian yang telah dijadikan kilang tidak dapat dipastikan jumlahnya. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah memutuskan supaya kajian terhadap keengganan pemilik tanah dan pengusaha kilang meyertai Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran dilaksanakan selewat-lewatnya pada April 2014 dan kajian ini akan merangkumi semua aspek. Untuk makluman Yang Berhormat, kajian tersebut akan dilaksanakan oleh Department of Urban and Regional Planning, Kulliyah of Architecture and Environmental Design (KAED), International Islamic University Malaysia (UIAM).