Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
286) PROGRAM PEMUTIHAN KILANG HARAM
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah prestasi usaha pemutihan kilang haram di Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat Lembah Jaya, sepanjang tempoh pelaksanaan Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) secara berperingkat selama lebih 14 tahun (iaitu dari 31 Julai 2006 hingga 31 Disember 2020), pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah berjaya mengumpulkan dan menyediakan senarai inventori KTK yang merangkumi 5,618 lot tanah atau 7,015 buah kilang yang telah dibanci oleh PBT (dan dikemaskini sehingga Jun 2022).
Melalui siri mesyuarat jawatankuasa KTK peringkat Daerah dan Negeri yang diadakan secara berkala, PDT dengan kerjasama PBT juga telah berjaya meluluskan sebanyak 345 permohonan tukar syarat tanah daripada 411 permohonan yang diterima. Daripada jumlah kelulusan tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya mengutip sebanyak RM 173,562,444.914 sebagai kutipan hasil premium tambahan ekoran kelulusan pertukaran syarat tanah daripada kategori pertanian kepada industri, dan jumlah kutipan bayaran premium tambahan yang diterima akan meningkat apabila baki permohonan yang telah diluluskan atau sedang diproses dapat diselesaikan dalam tempoh yang diberikan.
Mulai Januari 2022, setelah Program Pemutihan KTK di Negeri Selangor tamat pada 31 Disember 2020, Kerajaan Negeri Selangor melalui PDT serta PBT sedang dan akan menyusulinya dengan proses tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan yang sedang berkuatkuasa oleh pihak PDT dan PBT terhadap mana-mana pemilik tanah atau pengusaha KTK yang gagal membuat permohonan untuk menukar syarat tanah bagi tujuan industri atau ke atas struktur bangunan kilang yang didapati telah melanggar syarat kegunaan tanah pertanian dan gagal meremedikan tanahnya untuk kembali kepada keadaan asal seperti yang dinyatakan dalam dokumen hakmilik (geran) dalam tempoh masa yang diberikan oleh Pentadbir Tanah Daerah.
-
Berapakah jumlah fi yang tidak dapat dikutip disebabkan status kilang adalah haram?
Pada masa ini, tiada perincian mengenai keseluruhan jumlah fi yang tidak dapat dikutip disebabkan status kilang haram direkodkan oleh pihak Kerajaan Negeri. Hal ini memandangkan pengiraan kerugian jumlah fi akibat kewujudan kilang haram secara komprehensif bergantung kepada pelbagai jenis dan kadar caj atau fi yang mungkin terlibat atau dikenakan oleh PDT dan PBT kepada mana-mana pihak yang mengusahakan sesebuah kilang atau industri di sesebuah kawasan mengikut jenis aktiviti industri (ringan / sederhana / berat) yang dijalankan. Justeru, maklumat sebegini memerlukan penelitian lanjut oleh jabatan / agensi kerajaan yang menyelia pihak PDT dan PBT di Negeri Selangor.
Sebagai contoh, bagi maklumat jumlah fi di bawah bidang kuasa PBT yang tidak dapat dikutip disebabkan oleh pembinaan kilang haram, pengumpulan maklumat ini boleh diselaraskan secara berkala oleh pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) dan boleh dimaklumkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat selepas ia direkodkan secara berpusat dan teratur.
Rekod kutipan hasil daripada Program Pemutihan KTK di PDT pula hanya bertumpu kepada dua kategori, iaitu bayaran premium tambahan dan bayaran permit khas yang dikeluarkan berdasarkan status permohonan tukar syarat kegunaan tanah yang diluluskan atau ditolak. Sehingga Jun 2022, jumlah hasil kutipan (permit khas dan premium tambahan) yang berjaya dipungut oleh pihak Kerajaan Negeri melalui pelaksanaan Program Pemutihan KTK di Negeri Selangor adalah sebanyak RM 173,836,348.914 (iaitu merangkumi RM 173,562,444.914 bagi Premium Tambahan dan RM 273,904.00 bagi Permit Khas).