Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
154) PROGRAM PEMBUDAYAAN INOVASI
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila butirkan semua program dan usaha pembudayaan inovasi oleh Kerajaan Selangor pada tahun 2024.
Kerajaan Negeri Selangor sangat memberi penekanan mengenai pembudayaan inovasi melalui program-program yang melibatkan rakyat di negeri Selangor. Antara program pembudayaan inovasi adalah pertandingan Anugerah Inovasi Negeri Selangor (AINS) yang dijalankan setiap tahun bagi masyarakat Negeri Selangor. Terdapat lima (5) kategori yang dipertandingkan di dalam AINS Tahun 2024 iaitu:
I. Kategori Sektor Awam (AINS-SA):
- Trek Ekonomi
- Trek Infrastruktur
- Trek Sosial
- Trek Keselamatan & Pentadbiran
II. Kategori Sektor Swasta;
III. Kategori Individu / Orang Perseorangan (Akar Umbi);
IV. Kategori Sekolah; dan
V. Kategori Institusi Pengajian Tinggi.
AINS adalah merupakan pertandingan inovasi yang menyeluruh hasil daripada gabungan antara Anugerah Inovasi Sektor Awam Negeri Selangor (diperkenalkan mulai tahun 2010) dan Program Cabaran My Innovation (diperkenalkan pada tahun 2014) yang bertujuan untuk memberi peluang kepada semua penduduk di Negeri Selangor yang meliputi individu / orang perseorangan / penjawat awam, syarikat swasta, pelajar sekolah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam mencetus idea baru yang kreatif dan inovatif ke arah pembudayaan inovasi di Negeri Selangor. Pertandingan ini dianjurkan oleh Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor melalui kerjasama strategik antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bersama 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor.
Bagi pelaksanaan AINS tahun 2024, terdapat penambahbaikan bagi kategori sektor awam dengan diletakkan di bawah satu kategori khas iaitu AINS Sektor Awam (AINS-SA) dengan dipecahkan kepada empat trek iaitu trek sosial, trek ekonomi, trek infrastruktur serta trek keselamatan & pentadbiran. Tujuan utama penambahbaikan ini dibuat adalah bagi memastikan elemen penilaian pemarkahan AINS bagi peserta daripada Sektor Awam adalah selari dengan pertandingan Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan. Jumlah penyertaan daripada seluruh Negeri Selangor yang berjaya diperolehi bagi pertandingan AINS Tahun 2024 adalah sebanyak 306 penyertaan.
Selain daripada pertandingan inovasi, program pemberian dana inovasi melalui inisiatif Geran Teknologi & Inovasi Digital Selangor (GTIDS) juga telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan geran bernilai RM120,000. Geran ini terbuka kepada seluruh rakyat Negeri Selangor dan penyertaan ini telah dibuka bermula dari 1 Ogos sehingga 15 September 2024. Terdapat dua (2) sesi penilaian yang dilaksanakan iaitu Penilaian Awal yang dilaksanakan dari 23 hingga 25 September 2024 dan Penilaian Akhir pada 1 Oktober 2024. Hasil daripada penilaian yang dilaksanakan ke atas lapan (8) projek inovasi yang berjaya melepasi Penilaian Akhir, empat (4) penerima telah dipilih sebagai pemenang GTIDS berjumlah RM30,000 bagi setiap geran yang telah disampaikan pada Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Selangor pada 7 Oktober 2024 yang lalu. Tujuan utama pelaksanaan program inisiatif ini adalah bagi membantu meransang pengembangan teknologi dan aktiviti pembudayaan inovasi digital Negeri Selangor. Pemberian geran ini diharap dapat membantu Selangor menyelesaikan permasalahan di peringkat masyarakat melalui inovasi teknologi digital. Ia juga bertujuan untuk memastikan teknologi dan inovasi digital mampu dipraktikkan dan digunakan dalam kehidupan masyarakat.
Pada tahun ini juga, Kerajaan Negeri Selangor telah bekerjasama rapat dan menjadi rakan kolaborasi dengan Kerajaan Persekutuan terutamanya daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam program-program yang melibatkan sains, teknologi dan inovasi. Antara program yang telah diadakan di Negeri Selangor adalah sesi taklimat Program Jerayawara Skim Dana Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) MOSTI pada 10 September 2024, Malaysian Techlympic Zon Tengah pada 25
dan 26 September 2024 serta sesi libat urus Projek Pembangunan Malaysia Innovation Index (MII) peringkat Negeri Selangor pada 16 Oktober 2024.
Selain itu juga, Festival Inovasi Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2024 (FIS’24) adalah program baharu yang diwujudkan oleh Pentadbiran ini kesinambungan daripada acara tahunan berkaitan inovasi berfokus kepada skala yang lebih kecil dengan pengisian yang lebih bersasar. Pada tahun ini Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Tetap Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Negeri Selangor di dalam menganjurkan FIS’24. Program ini telah dijalankan bersekali dengan Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Selangor pada 7 Oktober 2024. Antara aktiviti / program yang diadakan pada hari ini adalah majlis penyampaian hadiah, pameran reruai inovasi, pembentangan kertas kerja dan hasil inovasi serta sesi perkongsian ilmu berkaitan teknologi dan inovasi. Penglibatan penyertaan melibatkan pelbagai pihak terutamanya bagi Pameran Reruai Inovasi daripada agensi kerajaan persekutuan seperti Malaysia Technology Development Corporation (MTDC), agensi di bawah Jawatankuasa STI seperti Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) dan Selangor Aviation & Technology Innovation (SELATI), penyertaan dari institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) selain daripada kumpulan-kumpulan inovasi terdiri daripada agensi dan jabatan di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, syarikat swasta, sekolah dan orang perseorangan.