Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

91) PROGRAM PEMBANGUNAN RETIREMENT HOME BAGI WARGA EMAS

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Haji Yaakob Bin Sapari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan untuk membina Retirement Home untuk membantu warga emas yang semakin meningkat bilangannya?

    Berdasarkan unjuran statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan golongan berumur 55 tahun akan meningkat kepada 20% dari jumlah populasi penduduk kawasan Lembah Klang menjelang tahun 2020.

    Peningkatan jumlah golongan ini juga bermakna kemudahan sokongan untuk menampung keperluan kehidupan golongan ini juga perlu ditambah terutama yang melibatkan ‘healthcare’ dan ‘aged care’.

    Malaysia juga menjadi destinasi tumpuan golongan pesara dari negara luar atas faktor iklim yang sederhana, kadar tukaran matawang yang rendah, kemudahan penjagaan kesihatan yang baik serta kos sara hidup yang rendah.

    The Green Leaf (Sepang), Aragreens Residence (Ara Damansara) dan Green Acres (Ipoh) adalah antara ‘Top 3 Retirement Homes’ yang terdapat di Malaysia. ‘Little Japan’ adalah antara ‘Retirement Homes’ terkini yang akan dibangunkan di Taman Molek, Johor.

    ‘Retirement Homes’ telah menjadi satu trend gaya hidup terutama untuk golongan warga emas di dalam dan luar negara justeru itu, PKNS juga bercadang untuk turut serta dalam pembangunan ‘Retirement Village’ bagi menyokong hasrat Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkasa kehidupan golongan warga emas.

  2. Apakah PKNS bercadang untuk membangunkan Retirement Home untuk golongan ini?

    Sehubungan itu, PKNS melalui kerjasama sebuah syarikat swasta sedang memperinci perancangan pembangunan sebuah ‘Retirement Village’ yang akan dibina di salah satu pusat pertumbuhan PKNS di Bernam Jaya. Berbanding ‘Retirement Village’ lain yang tertumpu kepada golongan berpendapatan tinggi, pembangunan ‘Bernam Jaya Retirement Village’ pula disasarkan kepada golongan berpendapatan sederhana dan sederhana tinggi.

    ‘Bernam Jaya Retirement Village’ akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 40 ekar dengan pembangunan keseluruhan melibatkan sejumlah 400 unit kediaman untuk golongan warga emas lengkap dengan kemudahan ‘Aged Care’ dan kemudahan sokongan lain yang mesra warga emas. Pembangunan yang dibahagikan kepada tiga (3) fasa itu dijangka akan dapat disempurnakan dalam tempoh lima (5) tahun.

  3. Berapakah jumlah peruntukan dianggarkan bagi membangunkan Retirement Home?

    Anggaran awal pembangunan ‘Bernam Jaya Retirement Village’ ini adalah di antara RM25 juta hingga RM30 juta.

Lampiran

Tiada Lampiran.