Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

168) PROGRAM PEMBANGUNAN PELANCONGAN

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap Rumah Rehat GAP di Bukit Fraser yang dilaporkan pada bulan September 2010 sebagai terbiar selama dua tahun?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor telah berurusan dengan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Selangor berkaitan projek baik pulih dan menaik taraf Rumah GAP Bukit Fraser.  Untuk makluman, projek ini adalah dibawah pengendalian dan peruntukan daripada pihak Kementerian Pelancongan Malaysia.

    Butiran Kerja ( Bill of Quantity – B.Q ) lengkap yang disediakan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS)  telah diserah kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor (PPN Selangor) sebagai agensi Pelaksana. Kini, Jabatan Warisan Negara sedang meneliti semula B.Q. tersebut berdasarkan kesesuaian dan penggunaan bahan binaan memandangkan projek ini melibatkan kerja-kerja konservasi bangunan lama. Kerja-kerja ini merupakan kerja-kerja menaiktaraf Rumah Gap Fasa 2 dan pemuliharaan semula bagi kerja-kerja Fasa 1 yang telah mengalami kerosakan akibat kelewatan peruntukan diturunkan sebelum ini oleh pihak Kementerian Pelancongan Malaysia.  Kelewatan ini berlanjutan sejak bulan Ogos 2010 sehingga kini iaitu kira-kira 1 tahun 5 bulan.

    Walaubagaimanapun, pihak TSSB dan UPEN menyedari proses ini telah mengambil masa yang agak lama untuk dilaksanakan. Oleh itu, semasa di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pelancongan yang telah diadakan pada 14 Februari 2012 lalu, mesyuarat telah memutuskan agar satu tempoh akhir diberikan terhadap pelaksanaan tersebut iaitu pada 29 Februari 2012. Sekiranya tiada sebarang kemajuan, maka kerajaan negeri Selangor akan mengambil alih projek tersebut.

    Memandangkan tiada sebarang maklum balas positif diterima dari pihak Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Selangor, maka pihak TSSB akan membuat satu kertas kerja cadangan untuk diusulkan kepada pihak UPEN dan seterusnya untuk mendapatkan ulasan berkaitan cadangan pengambil alihan projek berkenaan daripada pihak kementerian yang bertanggung jawab. Sekiranya dipersetujui, kerajaan Negeri di dalam masa terdekat akan mengangkat perkara ini kepada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk permohonan peruntukan bagi kerja-kerja Menaiktaraf Rumah Gap dan seterusnya mengambil alih projek tersebut memandangkan bangunan tersebut telah lama terbiar sejak tahun 2010.

  2. Apakah status kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf Rumah Rehat Sri Berkat di Fraser Hill?

    Pihak UPEN telah meluluskan peruntukan bagi Kerja-kerja Menaiktaraf Rumah Rehat Sri Berkat Fasa 1 yang berjumlah RM 700 000.00. Kerja-kerja ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR Selangor) dan telah siap pada Disember 2011 yang lalu.

    Namun begitu, masih terdapat keperluan bagi kerja-kerja Menaiktaraf Rumah Rehat Sri Berkat ( Fasa 2 ) yang akan dilaksanakan bagi membaik pulih rumah tersebut secara keseluruhannya. Dari hasil lawatan yang diadakan oleh pihak TSSB bersama wakil JKR dan UPEN pada 8 Mac 2012 telah mengenal pasti antara skop kerja bagi Fasa 2 adalah seperti membaik pulih dapur, membaik pulih bilik-bilik kecil dan bilik pekerja, menaiktaraf landskap dan pengindahan RRSB, wakaf serta BBQ Pit. Kerja-kerja tersebut dijangka siap pada bulan Jun 2012.

  3. Berapakah kos yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri bagi menukarkan Rumah Pam GAM di Bukit Fraser kepada tandas awam?

    Projek Konservasi Rumah Genset Lama dan Menukar Guna Untuk DiJadikan Tandas Awam telah dilaksanakan pada 29 November, 2010 dan siap sepenuhnya pada 13 Januari, 2011 yang lalu.  Ia melibatkan kerja-kerja konservasi dengan mengekalkan ciri-ciri dan struktur serta bahan binaan asal bangunan tersebut.  Kos keseluruhan bagi projek tersebut ialah RM 95 800.00 melalui Peruntukan Pembangunan Menaik Taraf Produk Pelancongan Negeri Selangor tahun 2010.

Lampiran

Tiada Lampiran.