Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

223) PROGRAM PEMBANGUNAN BELIA

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memandangkan polisi Undi18 telah dilaksanakan, apakah rancangan kerajaan untuk menyambut pengundi baru ini?

    Kerajaan Negeri memandang serius terhadap penglibatan anak muda dalam politik memandangkan belia merupakan kumpulan terpenting dan terbesar dalam masyarakat dan ia menjadi ukuran demokrasi sesebuah negara. Pihak berwajib perlulah melihat apa keperluan dan usaha-usaha untuk menyediakan belia untuk terlibat secara proaktif di dalam politik sebagai pengundi mahu pun calon.

    Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Generasi Muda dan Sukan telah mengambil inisiatif bagi menggalakkan penglibatan anak muda bertujuan untuk melahirkan kepimpinan generasi muda yang berwibawa yang dapat menjadi ejen perubahan kepada golongan generasi muda di Negeri Selangor. Sebagai contoh, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda sentiasa mengadakan sesi brainstoming bersama anak-anak muda ini serta pakar akademik bagi mendapatkan input mengenai keperluan anak-anak muda ini yang memerlukan peranan Kerajaan Negeri melalui Bengkel Penggubalan Dasar Belia Selangor 2020 pada 25-27 September 2020 yang melibatkan wakil-wakil belia dari pelbagai bidang dan latar belakang.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Generasi Muda juga ada menjalankan Kajian Profail dan Pemetaan Belia Negeri Selangor. Kajian ini bertujuan untuk membina dan mewujudkan penanda aras dalam mengukur tahap kesejahteraan hidup belia Selangor dan pembentukan pelan tindakan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup belia Selangor. Melalui kajian ini, sebanyak 13 domain digunakan bagi mengukur dan menganalisa tahap keyakinan dan kepercayaan belia Selangor bagi membantu kerajaan Negeri untuk membentuk pangkalan data spesifik bagi tujuan perancangan polisi dan aktiviti yang bersesuaian dan bertepatan dengan belia di Selangor.

    Seterusnya, menyedari bahawa golongan belia merupakan asas sebenar atau tulang belakang kepada keutuhan dan kekuatan sesuatu bangsa dan negara, Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan Dasar Belia Selangor 2020 bagi memperkasakan gerakan belia di Selangor dalam tempoh 10 tahun yang akan datang. Keupayaan politik (political will) sesebuah kerajaan dalam membangunkan bidang-bidang penting pembangunan pada kebiasaannya akan dinilai menerusi dasar khusus yang dipandu.

    Justeru, Pembentukan Dasar Belia Selangor 2020 yang komprehensif dilihat memberi satu kelebihan kepada Kerajaan Negeri dari sudut pembangunan belia positif secara khusus, selain dari sudut keupayaan politik secara umum. Terdapat 10 domain utama Dasar Belia Selangor 2020 iaitu Kepimpinan dan Literasi Politik, Hubungan Antarabangsa dan Pemikiran Global, Keusahawanan dan Ekonomi Digital, Pekerjaan dan Pembangunan Kemahiran, Pendidikan, Kebudayaan, Kreativiti dan Sukan, Keagamaan, Kesihatan dan Kesejahteraan, Media Digital dan Sosial, Nasionalisme dan Patriotisme serta Keseimbangan Alam Sekitar.

    Domain 1 (Kepimpinan dan Literasi Politik) yang terkandung dalam Dasar Belia Selangor 2020 telah memfokuskan kepada kepimpinan dan literasi politik dalam kalangan belia Selangor. Domain ini telah mendapati bahawa pemahaman tentang politik, demokrasi dan kepimpinan sangat penting kerana ia mempengaruhi gaya hidup, gaya fikir dan sosialisasi rakyat Selangor termasuk belia dalam mengendali kehidupan bermasyarakat mereka. Menyedari hal ini, Kerajaan Negeri telah menggariskan strategi dasar sebagai salah satu usaha bagi menyambut pengundi baru iaitu seperti berikut:-

    i) Pewujudan Kongres Belia Selangor

    – Kongres Belia Selangor akan menjadi satu platform perbincangan yang menggabungkan semua pemegang taruh dalam pembangunan belia Selangor. Kongres ini akan mengumpulkan semua pemegang taruh dalam pembangunan belia yang bertanggungjawab sebagai punca kuasa yang mewujudkan ekosistem yang menyokong kepada pendidikan dan pelaksanaan inisiatif ke arah belia Selangor yang celik politik, demokrasi dan kepimpinan.

    ii) Pelaksanaan kuota representatif belia sebagai ahli dalam kepimpinan masyarakat merentas sektor (politik, sosial, komuniti, korporat)

    – Pelaksanaan kuota ini akan memastikan belia diberi ruang untuk memimpin di semua peringkat merentas sektor (politik, sosial, komuniti, korporat dan sebagainya).

    – Kuota sebanyak 30% harus diberikan kepada para belia yang berkemampuan untuk diberi peluang untuk mengasah bakat mereka dalam arena kepimpinan.

    – Pemilihan representatif mestilah adil dan berdasarkan kepada merit seseorang individu.

    iii) Pelaksanaan had penggal (term limit) untuk kepimpinan dalam pertubuhan belia dan representatif belia dalam kepimpinan masyarakat merentas sektor (politik, sosial, komuniti, korporat)

    – Pelaksanaan had penggal untuk kepimpinan ini memastikan transisi kepimpinan berlaku dengan lancar dan mengelakkan pemusatan kuasa kepada individu tertentu.

    – Ini akan memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai belia untuk mengambil tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat.

    iv) Perencanaan dan Pelaksanaan Program Pendidikan Kepemimpinan, Politik Dan Demokrasi dalam kalangan Belia di peringkat Negeri Selangor di bawah Pejabat YB Exco Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan

    – Merupakan sebuah inisiatif berskala besar di peringkat negeri bagi memberikan pendidikan dan latihan berkaitan kepemimpinan, politik dan demokrasi kepada belia Selangor perlu diwujudkan bagi melaksanakan program seperti wacana, jerawaraya (townhall), kursus jangka pendek, program pementoran dan perantisan yang mana hasil program kemudiannya perlu dinilai dan dilaporkan pencapaian dan keberkesanannya di Kongres Belia Selangor.

    – Inisiatif ini penting bertujuan untuk memasyarakatkan kepemimpinan, politik dan demokrasi dalam kalangan belia Selangor. Ia akan berfungsi sebagai medium penyampaian utama di peringkat Negeri Selangor yang dilaksanakan merentas sektor
    berkaitan pendidikan kepemimpinan, politik dan demokrasi kepada belia Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.