Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

69) PROGRAM PEMBANGUNAN BELIA

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan untuk membantu pembangunan belia di Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dalam usaha untuk menambah baik usaha pembangunan belia di Negeri Selangor. Ini penting dalam mengambil kira populasi belia yang merangkumi separuh daripada rakyat Negeri Selangor berjumlah 6 juta.

     

    Justeru itu, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Generasi Muda dan Sukan sentiasa menitikberatkan aspek pembangunan generasi muda dan sukan dalam usaha untuk melahirkan generasi muda yang sentiasa berdaya saing, bersatu-padu, bekerjasama, berwawasan, aktif dan sihat sejajar dengan arus pembangunan pada masa kini.

     

    Antara perancangan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri adalah dengan meningkatkan pelbagai program pembangunan belia dengan melantik seramai 280 orang Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang terdiri daripada golongan belia sebagai agen penggerak belia Negeri Selangor dengan peruntukan berjumlah RM1,411,200.00 setahun bagi peruntukan elaun dan sebanyak RM1,120,000.00 untuk peruntukan program Penggerak Belia Selangor (PeBS).

     

    Seterusnya, Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan Dasar Belia Selangor 2020. Pembentukan Dasar Belia Negeri Selangor 2020 ini adalah perlu kerana dasar ini bertindak sebagai manual yang memandu hala tuju pembangunan belia di samping ia juga berfungsi sebagai penimbang tara kepada status program pembangunan belia semasa. Ini kerana, keupayaan program pembangunan belia bagi memacu belia sebagai rakan pembangunan adalah dicerminkan oleh dasar yang dipandu. Terdapat 10 domain utama Dasar Belia Selangor 2020 sebagai panduan kepada Pembangunan Generasi Muda di Selangor iaitu Kepimpinan dan Literasi Politik, Hubungan Antarabangsa dan Pemikiran Global, Keusahawanan dan Ekonomi Digital, Pekerjaan dan Pembangunan Kemahiran, Pendidikan, Kebudayaan, Kreativiti dan Sukan, Keagamaan, Kesihatan dan Kesejahteraan, Media Digital dan Sosial, Nasionalisme dan Patriotisme serta Keseimbangan Alam Sekitar.

     

    Seiring dengan keperluan dan kehendak generasi muda pada masa kini, pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM14,941,000.00 untuk Pembangunan Generasi Muda dan Sukan di Negeri Selangor. Melalui peruntukan tersebut, sebanyak RM5,701,000.00 dikhususkan untuk melaksanakan program-program pembangunan generasi muda yang mana program ini dilaksanakan berdasarkan kepada 10 teras yang terkandung dalam Dasar Belia Selangor. Program ini juga turut dilaksanakan oleh Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang bertindak sebagai jentera pelaksana Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar-dasar berkaitan pembangunan generasi muda di peringkat akar umbi dan juga dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dalam usaha untuk memastikan program-program yang dijalankan dapat menepati keperluan generasi muda pada masa kini.

     

    Di samping itu, sebanyak RM2,240,000.00 pula telah diperuntukkan untuk Projek Membaikpulih dan Membina Baru Infrastruktur Sukan di Negeri Selangor yang bertujuan untuk memastikan kemudahan-kemudahan sukan tersebut dapat digunakan untuk tujuan aktiviti kesukanan terutamanya untuk pembangunan anak muda di Selangor dalam usaha untuk melahirkan anak muda yang sentiasa aktif, sihat, proaktif dan berdaya saing.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga sentiasa peka dan prihatin terhadap aspek pembangunan dan memartabatkan sukan di Negeri Selangor. Peruntukan sebanyak RM7,000,000.00 telah diperuntukkan untuk melaksanakan program-program pembangunan sukan dan persediaan bagi menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2022 melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).

     

    Di samping itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000.00 bagi menjalankan Program Karnival Kerjaya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Selangor (JTK) dan Job Malaysia bagi memberi peluang kepada generasi muda untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.