Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

30) PROGRAM PEMBANGUNAN BELIA

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif yang perlua dipergiatkan untuk menambah baik pendapatan warga muda?

    Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dalam usaha untuk menambah baik pendapatan rakyat terutamanya golongan warga muda di Selangor yang telah terjejas dari sudut ekonomi apabila kehilangan pekerjaan ataupun pendapatan berikutan pandemik yang telah melanda. Justeru itu, selaras dengan peralihan ke era digital pada masa ini, Kerajaan Negeri menggalakkan mereka untuk menyertai sektor ekonomi gig iaitu sebagai penghantar makanan. Sektor ini menjadi trend penglibatan anak muda pada masa ini. Berikutan, inisiatif RiDE adalah usaha untuk terus membantu kumpulan ini, sekaligus menggalakkan penyertaan mereka dalam sektor terkini. Subsidi sebanyak RM500.00 yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada golongan anak muda melalui RiDE telah menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited, prihatin dan peka akan masalah terutamanya kepada golongan yang terjejas akibat pendemik ini. Susulan permintaan yang tinggi terhadap permintaan ‘food delivery’ dan sebagainya, Kerajaan Negeri berharap program RIDE ini akan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja dan merancakkan lagi sektor tersebut dan juga dapat menambahkan pendapatan mereka.

    Seterusnya, pada tahun 2021, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan telah melaksanakan sebanyak enam (6) siri Karnival Kerjaya – Selangor Bekerja di lokasi berbeza. Penganjuran program ini merupakan platform yang menyediakan ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan pekerjaan, sekaligus mengatasi kadar pengangguran di Selangor selaras dengan permintaan yang tinggi dan sambutan yang menggalakkan berikutan kadar kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik covid-19. Pada tahun ini, program ini akan akan dilaksanakan dalam skala yang lebih besar yang dijangka dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada pencari kerja di Negeri Selangor.

    Di samping itu, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) juga telah mengadakan satu inisiatif baharu iaitu Program Selangor Kerjaya yang bertujuan untuk membantu rakyat Selangor mencari pekerjaan. Program ini menawarkan peluang pekerjaan melalui pemadanan kerjaya yang berkesan melalui Portal Selangor Kerjaya dengan pautan https://www.selangorkerjaya.com.my. Kemudahan Portal ini adalah diberi secara percuma kepada majikan yang mahu mengiklankan jawatan kosong dan individu yang ingin mencari peluang pekerjaan, di mana mereka hanya perlu mendaftar dengan Selangor Kerjaya Portal. Melalui program ini, calon akan melalui penilaian profil serta pemadanan kerjaya tertakluk kepada pekerjaan yang diiklankan dan pemilihan tersebut akan dilakukan oleh majikan yang berdaftar sebelum penempatan kerja sebenar berlaku. Setelah penempatan kerja berlaku, calon akan diberikan latihan – latihan profesional dan akses pembelajaran atas talian selama dua belas (12) bulan.

    Selain daripada itu, pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif dan memperkenalkan Program IKTISASS yang bertujuan untuk melahirkan golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), belia tercicir serta berkeperluan khas dan graduan dengan memberi latihan dalam bidang kemahiran teknikal dan professional seiring dengan keperluan industri semasa. Bagi tahun 2021, di bawah Program IKTISASS telah melaksanakan Program SELatih Sure – Selatih Strategik Upskilling Reskilling dengan kerjasama Selangor Human Resources Development Centre (SHRDC) yang dijangka boleh membantu memulihkan peluang tenaga kerja di Selangor di dalam menghadapi kemelesetan peluang pekerjaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.