Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

53) PROGRAM PEMBAIKAN / PEMULIHAN RUMAH-RUMAH USANG

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor mempunyai apa-apa inisiatif yang membaiki atau memulihkan rumah-rumah usang warga Selangor yang kritikal? (Contoh: Bumbung tercabut akibat angin kencang).

    Saya menyambut baik akan pertanyaan yang diajukan oleh Yang Berhormat Bandar Utama mengenai inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam menyediakan program khas untuk membantu warga Selangor untuk membaiki rumah yang usang. Untuk makluman Yang Berhormat Bandar Utama, Kerajaan Negeri Selangor telah pun menyediakan satu bentuk program khusus bagi membantu rakyat di negeri ini untuk mendiami sebuah rumah yang selesa di bawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin. Program ini dipecahkan kepada dua (2) bentuk bantuan iaitu bina baru sebuah rumah rumah 3 bilik yang berkeluasan 660 kaki persegi dan membaikpulih kerosakan asas rumah. Daripada tahun 2017 sehingga kini, had siling bagi bantuan membina baru sebuah rumah di bawah program ini adalah kekal sebanyak RM50,000.00 manakala had siling bagi bantuan membaik pulih rumah adalah sebanyak RM20,000.00 maksimum bagi sebuah rumah bergantung kepada kerosakan yang dialami. Setiap kos pembaikan rumah adalah dianggarkan oleh bahagian teknikal Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan. Setiap kelulusan di bawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Rumah yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat EXCO.

     

    Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan dana sebanyak RM1 juta bagi tahun 2022 untuk membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan dapat menikmati rumah yang selesa dan selamat untuk didiami.

     

    Untuk makluman Yang Berhormat Bandar Utama juga, permohonan Bantuan Rumah di bawah Program Kerajaan Prihatin adalah terbuka kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor dengan tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. Di bawah program ini, Kerajaan Negeri Selangor telah membantu ramai keluarga bagi mendapatkan sebuah rumah yang selesa untuk didiami. Bagi tahun 2021, sebanyak tiga (3) Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Rumah Kerajaan Prihatin telah diadakan secara bersemuka dan dalam talian melibatkan sembilan (9) daerah di negeri Selangor. Justeru, pada tahun tersebut juga, seramai 65 keluarga telah dibantu di bawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin berdasarkan keputusan dan kelulusan ahli mesyuarat merangkumi bantuan bina baru rumah dan baikpulih rumah. Pecahan penerima Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin tahun 2021 adaah seperti berikut:

     

    PERKARA JUMLAH PENERIMA
    Bantuan Bina Baru Rumah 17
    Bantuan Baik Pulih Rumah 48
    JUMLAH 65

     

    Untuk makluman Yang Berhormat Bandar Utama serta Yang Berhormat sekalian, bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri lebih memfokuskan permohonan bantuan baik pulih rumah sahaja demi membantu lebih ramai keluarga di negeri ini untuk mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa.

     

    Walau bagaimanapun, berhubung pertanyaan Yang Berhormat Bandar Utama mengenai inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu membaiki rumah-rumah usang warga Selangor, perkara ini boleh dirujuk sebagaimana para 4.5 dan 4.15 Borang Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin pindaan 6 sebagaimana berikut:

     

    4.5                Pemohon yang mempunyai tanggungan sahaja akan dipertimbangkan. Terbukti bahawa rumah berkenaan diduduki pemohon dan tanggungannya.

    4.15              Mangsa bencana alam/ kebakaran yang membuat permohonan Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin selepas ditimpa musibah adalah tidak layak dipertimbangkan.

     

    Berdasarkan syarat di atas, jelas menyatakan bahawa permohonan yang melibatkan rumah usang yang boleh definisikan sebagai rumah yang telah lama ditinggalkan atas pelbagai faktor adalah tidak layak dipertimbang di bawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin. Keutamaan program ini hanya difokuskan kepada pemohon yang menepati syarat kelayakan dan masih mendiami rumah asal.

     

    Walau bagaimanapun, Jawatankuasa sentiasa berusaha untuk mengambil inisiatif untuk membantu lebih ramai keluarga khususnya yang terkesan akibat bencana alam seperti banjir dan ribut. Syarat-syarat di bawah program ini khususnya seperti di para 4.15 akan ditambahbaik bergantung kepada keperluan dan situasi semasa serta dana peruntukan yang ditetapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.