Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

139) PROGRAM MERAKYATKAN EKONOMI SELANGOR

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah produk atau jenama Program MIMBAR?

    Program Mikrokredit Miskin Bandar Selangor yang juga dikenali sebagai MiMBAR Selangor merupakan sebuah program suntikan modal tambahan perniagaan dalam bentuk pinjaman perniagaan khusus untuk peniaga-peniaga kecil di Selangor.  MiMBAR Selangor diwujudkan bagi membantu golongan peniaga kecil di bandar untuk mendapatkan peluang pinjaman perniagaan dengan lebih mudah dan tidak membebankan kerana pinjaman mikro yang ditawarkan titanpa faedah Objektif MiMBAR Selangor adalah:

    • berkongsi kekayaan kerajaan negeri dengan rakyat;
    • membantu peserta keluar dari paras garis kemiskinan; • mengubah sikap peserta untuk lebih berusaha dan berdikari.

    Misi MiMBAR Selangor adalah:

    • mempelbagaikan program dan bantuan pembangunan usahawan; • sebagai platform dan pusat rujukan kepada miskin bandar;
    • membantu peserta menjadi peminjam bertanggungjawab.

    MiMBAR Selangor sentiasa berusaha untuk mencapai visinya iaitu:

    • menjadi pusat latihan usahawan dan kerjaya yang disayangi & dihormati masyarakat;
    • menjadi peneraju serta contoh kepada negeri lain.

    MiMBAR Selangor memberikan jumlah pinjaman kecil-kecilan bermula dari

    RM1,000 hingga RM5,000. Sasaran peserta yang dibiaya oleh MiMBAR Selangor adalah peserta di bawah paras garis kemiskinan (PGK) yang mana keperluan perniagaan mereka adalah asas dan mereka hanya memerlukan sedikit modal tambahan.  Selama tiga (3) tahun beroperasi, MIMBAR menyediakan tiga bentuk program:-

    1. Mikrokredit

    Mikrokredit merupakan bentuk pinjaman tunai di antara RM1,000 hingga RM5,000 dalam tempoh bayaran balik 18 bulan.

    1. Bantuan Niaga

    Program Bantuan Niaga adalah melalui pemberian kiosk niaga dan produk bentuk pinjaman.  Antara kiosk niaga yang telah dikeluarkan oleh MiMBAR Selangor adalah:

    1. Kiosk Burger
    2. Kiosk Ice Blended
    3. Kiosk Ayam Rangup

    Kesemua set ini diberikan bersama “stainless steel” kiosk yang lengkap, mudah dan mobil, bunting promosi, set alat masak/mesin pengisar/dapur, bahan mentah dan pengenalan bersama pembekal.

    MiMBAR Selangor juga menyediakan produk-produk mampu milik dan mampu niaga untuk golongan peniaga yang ingin mengambil membuat perniagaan sampingan.  Antara produk yang pernah dihasilkan adalah: a. Susu Kambing Colagen untuk dewasa

    1. Susu Kambing DHA untuk kanak-kanak
    2. Kopi Pra Campuran Nenas
    3. Kopi Pra Campuran Susu Kambing dengan Tongkat Ali
    4. Kopi Pra Campuran Extra Dengan Mahkota Dewa
    5. Produk Kecantikan Nuroselle
    6. Jeruk Madu Pak Ali (dengan kerjasama Jeruk Madu Pak Ali)
    7. Air gau (dalam bentuk 500ml botol dan cawan)
    8. Kanopi

    Kesemua produk ini dijual dengan harga yang lebih murah berbanding di pasaran.  Ianya bagi membantu peserta untuk menjana keuntungan melalui pembekalan produk tersebut.

    1. Bantuan Kerja (pinjaman berbentuk peralatan perniagaan)

    Bantuan Kerja yang telah disediakan oleh MiMBAR Selangor adalah berbentuk peralatan cucian permaidani yang dinamakan sebagai Pakej MIMBAR Kleaner (PMK).  Pakej ini merangkumi 3 mesin cucian iaitu mesin pembersih, mesin pencuci, dan mesin pengering permaidani.  Ianya disertakan bersama alat-alat ganti seperti berus, beg penapis, dan agen pencuci.

    MiMBAR Selangor meliputi kawasan peniaga kecil yang menetap dan berniaga di bandar-bandar sahaja iaitu kawasan atau DUN yang berada di bawah lapan (8) daerah tersebut.  Iaitu; a. Majlis Perbandaran Klang (MPK)

    1. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
    2. Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
    3. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)
    4. Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)
    5. Majlis Perbandaran Selayang (MPS)
    6. Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)
    7. Majlis Perbandaran Sepang (MPSp)

    MiMBAR juga telah mengambil langkah yang bijak dengan melaksanakan latihan dan kursus kemahiran perniagaan yang komprehensif kepada pesertanya.  Pembangunan jati diri dan ilmu perniagaan merupakan latihan yang mendapat respon yang positif serta dapat mendidik mereka menjadi peniaga dan pengusaha yang lebih berwawasan dan bersistematik dalam mengendalikan perniagaannya agar dapat terus berkembang maju dan berjaya.

    MiMBAR Selangor adalah salah satu program di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diletakkan di bawah pemantauan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan Negeri Selangor, YB Puan Hjh Rodziah Ismail.

  2. Nyatakan apakah manfaat yang diperolehi kepada peserta Program TAWAS?

    Manfaat yang diterima oleh setiap ahli yang berdaftar dengan TAWAS & lulus akan menerima RM 1,500 ketika ahli mencapai usia 18 tahun. Selaian itu juga, manfaat tambahan telah diberikan kepada ahli TAWAS mengikut tahun kelahiran iaitu :

    TAHUN MANFAAT JUMLAH
    2008 Jom Shopping Bonus Selangorku RM100.00
    2009 Bonus RM30 RM30.00
    2010 Bonus RM30 RM30.00
  3. Apakah pencapaian kerajaan tentang Program Bantuan Pekerja Ladang?

    Negeri Selangor dibawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang Kerajaan telah memainkan peranan yang penting dalam memastikan kebajikan pekerja ladang di Negeri Selangor terjamin dan terbela.

    Pencapaian Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang dapat dilihat dan dinilai dengan pelaksanaan program – program motivasi yang secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf kehidupan, pendidikan, keyakinan dan ekonomi mereka. Pelbagai program-program khusus yang telah dilaksanakan bagi membantu para pekerja ladang

    Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang telah banyak melaksanakan pelbagai program khusus untuk memberi manfaat dan ilmu kepada para pekerja ladang serta anak-anak mereka seperti program-program motivasi, sumbangan subsidi tambang bas sekolah, sumbangan yuran pengajian serta Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR. Penyertaan dan komitmen yang ditunjukkan oleh mereka dalam program-program motivasi yang dianjurkan boleh dikira sebagai satu perkara yang amat membanggakan. Kehadiran mereka pada program-program seperti ini sangat penting dalam memastikan ilmu yang disampaikan dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian. Kerajaan Negeri berharap agar lebih ramai pekerja ladang yang akan menyertai program motivasi seperti ini di masa-masa akan datang bagi meningkatkan keyakinan diri serta menambah ilmu semasa.

    Dalam bidang pendidikan pula, terdapat empat (4) program yang telah dilaksanakan sepanjang tahun bagi membantu anak-anak pekerja ladang dalam mencari ilmu untuk mengejar cita-cita mereka. Program tersebut adalah seperti program motivasi UPSR, sumbangan subsidi tambang bas sekolah, bantuan yuran pengajian dan Majlis Anugerah Cemerlang UPSR. Pada setiap tahun, Kerajaan Negeri telah banyak membantu anak-anak pekerja ladang dalam memastikan mereka tidak ketinggalan dalam bidang pelajaran. Harapan kerajaan Negeri, dengan pelaksanaan program-program sedemikian, dapat mewujudkan kesungguhan dalam diri mereka demi mencapai kejayaan dan membantu keluarga mereka di masa akan datang.

    Selain itu, terdapat juga program berbentuk perayaan, kebudayaan dan keagamaan yang telah dilaksanakan dengan jayanya di bawah jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang seperti sambutan Pesta Ponggal dan Thaipusam serta sambutan perayaan Deepavali pada setiap tahun. Pencapaian pada program perayaan seperti ini sangat besar nilainya.

    Pemberian hamper turut disumbang kepada pekerja ladang di seluruh Selangor bagi tujuan meringankan beban mereka. Hamper yang diberi adalah berbentuk barangan harian. Walaupun tidak banyak, tetapi sangat besar nilainya kepada mereka.

    Secara keseluruhannya, dengan pelaksanaan program-program seperti yang disebut, serba sedikit dapat meringankan beban yang ditanggung oleh para pekerja ladang dalam menjaga hak dan kebajikan mereka. Kesimpulannya, program-program yang telah dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang dapat meningkatkan taraf kehidupan pekerja ladang dari segi pendidikan awal, kewangan dan motivasi diri. Secara tidak langsung, perkara ini dapat membantu merapatkan jurang di antara pekerja ladang dengan masyarakat luar serta dapat meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak pekerja ladang khususnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.