Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

339) PROGRAM MAKANAN SIHAT

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan berhasrat untuk melancarkan program Makanan Sihat seperti kempen "Perang Terhadap Gula" dan /atau melantik pakar nutrisi di semua agensi kerajaan yang mempunyai kantin?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan No. 59 (a) daripada ADN Bukit Lanjan. Kerajaan Negeri sentiasa menekankan kepentingan penjagaan kesihatan melalui pengamalan gaya hidup sihat selari dengan ungkapan pencegahan adalah rawatan terbaik. Ini termasuk berkaitan isu pengambilan gula yang tinggi oleh masyarakat di Negeri Selangor. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan pekeliling berkaitan Arahan Mengasingkan Gula Dalam Penyediaan Minuman Untuk Mesyuarat Dan Program Rasmi di Jabatan Kerajaan Selangor pada 14 Februari 2012. Melalui pekeliling ini, penyediaan minuman seperti kopi, teh dan lain-lain minuman bergula hendaklah disediakan secara berasingan dalam bentuk paket atau di dalam bekas asing. Dalam hal ini, Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam akan menyebarluas semula penggunaan pekeliling ini untuk perhatian dan tindakan lanjut oleh Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri Selangor.

    Kerajaan Negeri juga akan meneruskan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam Kempen Perangi Gula selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dimana Kempen Perangi Gula merupakan salah satu komponen utama di bawah ANMS. Antara program yang telah dan sedang dilaksanakan oleh JKNS adalah seperti berikut:

    1. Menjalankan latihan Katering Sihat yang menekankan kepada penyediaan makanan dan minuman yang lebih sihat kepada pengusaha dan pengendali makanan;
    2. Mengadakan pameran pemakanan, pocket talk dan sesi bual bicara mengenai gula semasa Jelajah ANMS, program Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS), sambutan Bulan Pemakanan dan lain-lain aktiviti di peringkat komuniti;
    3. Mengadakan ceramah dan pameran pemakanan semasa majlis peluncuran pemakanan sihat di sekolah-sekolah dalam Negeri Selangor; dan
    4. Menyebarluas maklumat pemakanan sihat melalui platform media sosial seperti Facebook Pemakanan Negeri Selangor serta portal Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

    Buat masa ini, Kerajaan Negeri Selangor tiada mempunyai perancangan untuk pelantikan pakar nutrisi bagi ditempatkan di setiap Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Selangor yang mempunyai kemudahan kantin atau kafeteria.

Lampiran

Tiada Lampiran.