Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
250) PROGRAM LADANG #SMARTSELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini program tersebut?
Program Ladang Smart Selangor masih lagi di peringkat mengenalpasti kawasan tanah yang bersesuaian memandangkan ianya memerlukan kawasan tanah yang luas bagi menempatkan usahawan-usahawan tani.
Walau bagaimanapun, bagi memastikan peluang kepada usahawan tani yang berminat untuk menceburi sektor pertanian tidak terhenti, Kerajaan Negeri telahpun mula melaksanakan Program Kebun Rakyat di mana penggunaan kawasan tanah untuk pelaksanaan program tersebut adalah berkeluasan lebih kecil malah hanya dengan keluasan setengah ekar sahaja ianya boleh dilaksanakan, sebagai contoh Program Kebun Rakyat di Daerah Gombak yang terletak di dalam kawasan Pejabat Pertanian Daerah Gombak / Petaling di mana ianya menempatkan seramai 4 orang usahawan tani dari golongan Generasi Muda yang diketuai oleh seorang usahawan tani berkonsepkan tanaman fertigasi yang berpengalaman sebagai mentor projek yang bertujuan untuk memberikan tunjuk ajar serta memastikan usahawan baru tersebut dapat mempelajari serta mendalami ilmu penanaman cili secara terus (hands-on).
Pada tahun ini juga, Kerajaan Negeri telahpun mengenalpasti sekurang-kurangnya 2 kawasan yang boleh dilaksanakan program tersebut dalam tempoh masa terdekat bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani khususnya di kalangan Generasi Muda.
-
Nyatakan jumlah permohonan dan penerima bantuan tersebut
Memandangkan Program Ladang Smart Selangor masih belum dapat dilaksanakan, tiada bantuan atau insentif yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri.
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri bagi menggalakkan lebih ramai menyertai program tersebut?
Sebagai inisiatif untuk menarik lebih ramai golongan masyarakat khasnya golongan Generasi Muda untuk menceburi bidang pertanian khususnya di dalam Program Ladang Smart Selangor serta Program Kebun Rakyat, beberapa siri seminar dan kursus telah diadakan dan ianya telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Tujuan program-program tersebut diadakan adalah untuk memberikan maklumat serta pengalaman awal kepada mereka tentang prospek di sektor pertanian yang boleh dijadikan sebagai sumber ekonomi yang baik.