Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
53) PROGRAM KEUSAHAWAN DIGITAL KEPADA BELIA
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Kamri Bin Kamaruddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perancangan untuk mengadakan program atau kursus berterusan untuk membentuk dan memberi tunjuk ajar dalam ilmu keusahawanan digital kepada belia di setiap DUN?
Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Keusahawanan komited dalam merancang dan melaksanakan pelbagai bentuk program dan latihan bagi menggalakkan transformasi keusahawanan digital di Negeri Selangor. Program-program yang dirancang akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Keusahawanan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti INSKEN, Hijrah Selangor, SIDEC, Invest Selangor dan Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS. Antara program sedia ada melibatkan ilmu keusahawanan digital yang telah memberi manfaat kepada usahawan Negeri Selangor dan akan diteruskan pada tahun 2024 adalah seperti berikut:
- Hijrah Selangor
Sebanyak 14 kelas dengan bilangan 600 peserta telah menghadiri kelas tiktok anjuran Hijrah Selangor daripada bulan Jun sehingga November 2023. Objektif kelas adalah untuk memastikan usahawan dapat mengadaptasikan perniagaan mereka secara dalam talian (digital platform) bagi melestarikan dan melebarluaskan saluran jualan secara digital dan fizikal. Sehingga kini, terdapat 420 orang peserta yang telah menghadiri kelas tersebut. Pada tahun 2024, menggunakan bajet sedia ada, Hijrah merancang untuk melaksanakan 2 kelas iaitu Boleh Digital dan kelas tiktok. Hijrah turut menawarkan pembiayaan kepada usahawan dalam urusan pendigitalisasian perniagaan melalui Skim Go Digital. Sehingga kini (daripada tahun 2021), terdapat 100 peserta dengan pembiayaan RM370,000. Hijrah juga bekerjasama dengan SIDEC untuk pemerkasaan digital yang memfokus kepada website (e-commerce). Dalam website Hijrah, terdapat pengenalan mengenai produk dan payment gateway yang membolehkan usahawan menerima pembelian pada setiap masa.
- Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC)
SIDEC akan melaksanakan Program Jelajah Usahawan Digital Selangor (JUDS). Program ini merupakan satu inisiatif yang telah dilaksanakan sebelum ini dengan kerjasama daripada beberapa pusat khidmat ADUN dengan objektif utama untuk mempromosikan e-dagang dan pendigitalan sekaligus menjemput usahawan, PKS dan komuniti setempat di beberapa daerah di Selangor untuk mula mengadaptasi dengan pendigitalan asas dalam perniagaan serta aktiviti perniagaan harian mereka seperti e-dagang, penghantaran makanan dan barangan serta pembayaran tanpa tunai (cashless). Setiap program menampilkan (5) lima orang penceramah yang pakar di dalam bidang tersendiri untuk berkongsi ilmu pengetahuan serta informasi kepada para peserta yang hadir. Seperti contoh platform e-dagang, pihak Shopee dan Lazada akan berkongsi topik-topik penting diikuti dengan bidang industri lain seperti J&T, Touch n Go dan TikTok. Para peserta yang mengikuti program ini akan mendapat pengetahuan secara langsung (face to face) dengan pemain industri dalam ekosistem ekonomi digital (e-dagang). Dengan cara ini, para peserta akan lebih memahami tentang perniagaan secara digital berbanding maklumat yang diperolehi daripada secara dalam talian.
- Pendigitalan Penjaja melalui Platform Selangor (PLATS)
Inisiatif Platform Selangor (PLATS) merupakan sebuah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor yang menawarkan platform promosi dan direktori digital secara percuma kepada usahawan mikro khususnya para penjaja di negeri Selangor.