Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

21) PROGRAM KESIHATAN RAKYAT

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Dato' Dr. Karim Bin Mansor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah program yang diadakan, jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan dan jumlah rakyat yang telah mendapat manfaat?

    Kerajaan Negeri telah mengadakan Program Bantuan Kesihatan Untuk Rakyat Miskin di Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Kesihatan. Program ini bertujuan untuk meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan untuk menampung perbelanjaan rawatan kesihatan mereka. Program bantuan ini hanya terhad kepada membiayai kos rawatan bagi penyakit katarak mata, pembedahan kecil (minor surgery), dialisis buah pinggang dan lain-lain permohonan yang wajar dipertimbangkan. Lain-lain permohonan bantuan kesihatan yang dipertimbangkan ialah perubatan kanser, keperluan membeli peralatan berkaitan kesihatan, pembelian ubat-ubatan bagi penyakit kronik dan lain-lain. Jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan mulai tahun 2010 sehingga Jun 2012 bagi menjayakan program ini adalah sebanyak RM 581,734.35 (lima ratus lapan puluh satu ribu tujuh ratus tiga puluh empat ringgit dan tiga puluh lima sen sahaja), perincian adalah seperti berikut:-

    BIL TAHUN   JENIS PERMOHONAN   JUMLAH
    DIALISIS KATARAK MATA PEMBEDAHAN KECIL LAIN-LAIN
    BIL RM BIL RM BIL RM BIL RM BIL RM
    1. 2010 38 75,430.00 13 5,754.00 17 42,529.00 0 0.00 68 123,713.00
    2. 2011 116 133,133.00 32 16,338.00 3 12,316.45 42 116,755.50 193 278,542.95
    3. 2012

    (30.6.12)

    60 86,935.00 19 14,740.00 1 132.00 28 77,671.40 108 179,478.40
    JUMLAH 214 295,498.00 64 36,832.00 21 54,977.45 70 194,426.90 369 581,734.35

    Selain itu, Kerajaan Negeri telah melancarkan program Skim Kesihatan Wanita di bawah Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita. Skim ini merupakan satu program pemeriksaan Mammogram yang diberikan secara percuma kepada warga wanita di Negeri Selangor bagi pengesanan awal barah payudara. Sehingga kini sejumlah RM 1,502,250.00 (satu juta lima ratus dua ribu dua ratus lima puluh ringgit) telah dibelanjakan di dalam program ini dan seramai 15,817 peserta telah mendapat manfaat dari program ini.

    Kerajaan Negeri juga turut  melancarkan program Pusat Dialisis Rakyat yang merupakan satu program yang memberi perkhidmatan dialisis secara percuma kepada golongan yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan. Walau bagaimanapun, kos peruntukan bagi program ini dilaksanakan melalui smart partnership dengan sebuah syarikat swasta di mana Kerajaan Negeri hanya menyediakan premis yang bersesuaian dengan kadar sewaan yang minima sahaja. Manakala bagi kos kelengkapan dan tenaga pakar diuruskan oleh syarikat berkenaan. Sehingga kini, terdapat 3 buah Pusat Dialisis Rakyat (PDR) yang telah beroperasi sepenuhnya. Seramai 53 orang telah mendapat khidmat yang telah disediakan. Berikut adalah pecahan peserta mengikut pusat dialisis yang disediakan:-

    BIL. LOKASI JUMLAH PESERTA (ORANG)
    1. PDR AMPANG 24
    2. PDR TAMAN MEDAN 10
    3. PDR SEMENTA 19
    JUMLAH 53
  2. Apakah mekanisme bagi memastikan program kesihatan dinikmati oleh semua rakyat tanpa ada yang terpinggir?

    Mekanisme yang digunakan bagi memastikan program kesihatan dinikmati oleh semua rakyat tanpa ada yang terpinggir ialah dengan menggunakan agensiagensi kerajaan seperti pejabat DUN, Pejabat Daerah, jabatan kebajikan di hospital di dalam Negeri Selangor sebagai agen untuk menyalurkan maklumat kepada golongan yang memerlukan bantuan. Selain itu hebahan melalui laman web dan akhbar turut digunakan bagi tujuan promosi program-program yang disediakan oleh Kerajaan Negeri. Pada masa yang sama program-program kesihatan ini atau lain-lain program yang disediakan oleh Kerajaan Negeri turut dilibatkan di dalam acara-acara atau karnival rakyat yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri. Melalui mekanisma seumpama ini, dapat membuka peluang dan ruang kepada rakyat Selangor untuk mendapat manfaat khususnya bagi program kesihatan.

  3. Adakah kerajaan negeri bercadang memperkenalkan perkhidmatan perubatan seperti Klinik 1Malaysia?

    Buat masa ini, Kerajaan Negeri belum bercadang untuk memperkenalkan perkhidmatan perubatan seperti klinik 1Malaysia

Lampiran

Tiada Lampiran.