Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
122) PROGRAM KESEDARAN ALAM SEKITAR DI DUN KOTA KEMUNING
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan Negeri merancang program kesedaran alam sekitar untuk penduduk DUN Kota Kemuning bagi mengurangkan pembuangan sampah haram?
Untuk makluman, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah dan sedang merancang pelaksanaan beberapa program kesedaran alam sekitar di kawasan DUN Kota Kemuning sebagai usaha untuk mengurangkan masalah pembuangan sampah haram. Selain itu, sesi advokasi turut dilaksanakan kepada semua pihak bagi meningkatkan tahap pemahaman mengenai aspek menjaga kebersihan kawasan. Pihak MBSA turut bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dalam menganjurkan program gotong-royong bersama penduduk. Program ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran dan rasa tanggungjawab bersama untuk menjaga kebersihan di kawasan kediaman dan perniagaan.
MBSA juga akan mengenal pasti majikan yang menguruskan kediaman asrama pekerja bagi mengadakan sesi libat urus. Menerusi sesi tersebut penekanan diberikan kepada kesedaran mengenai kebersihan dan pengurusan sampah di kediaman asrama bagi memastikan persekitaran yang bersih dan teratur.
Melalui pelaksanaan program-program sebegini, adalah diharapkan supaya tahap kesedaran masyarakat mengenai kebersihan akan meningkat, seterusnya membantu pihak Majlis untuk mengurangkan masalah pembuangan sampah haram di kawasan DUN Kota Kemuning.
-
Apakah langkah untuk melibatkan komuniti dalam aktiviti pembersihan dan penjagaan kawasan awam?
Bagi memastikan komuniti turut serta dalam aktiviti pembersihan dan penjagaan kawasan awam, MBSA telah melaksanakan beberapa langkah seperti berikut:
- Menggalakkan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk menganjurkan kempen kebersihan dan program gotong-royong secara berkala. Pihak Majlis turut menyediakan bantuan logistik bagi memastikan progrm berjalan lancar.
- Menyokong inisiatif sukarelawan diperingkat komuniti dalam memelihara alam sekitar dan kebersihan kawasan seperti Duta Earth Warrior yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam pelaksanaan usaha ini, khususnya di kawasan DUN Kota Kemuning.
- Menggalakkan komuniti untuk menyalurkan maklumat secara langsung kepada pihak MBSA mengenai kes pembuangan sampah haram. Maklumat ini penting bagi membolehkan tindakan segera dan penguatkuasaan yang lebih efektif dapat diambil.
- Melibatkan komuniti dalam program dan kempen alam sekitar seperti Hari Alam Sekitar Sedunia, Hari Lautan Sedunia dan Hari Tanpa Plastik di mana pelbagai aktiviti pembersihan kawasan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kesedaran serta menyemai sikap tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan alam sekitar.
Melalui pendekatan ini, MBSA berharap agar kesedaran sivik
di kalangan penduduk dapat dipertingkatkan, seterusnya membantu mengekalkan kebersihan dan keindahan kawasan awam secara berterusan. -
Adakah kerajaan akan sediakan insentif bagi kawasan perumahan yang berjaya kekalkan kebersihan dan kehijauan?
MBSA telah memberi pengiktirafan kepada kawasan perumahan yang berjaya mengekalkan kebersihan dan kehijauan melalui program Anugerah Hijau Komuniti Zon Bersih Mini Zee Bee di kalangan persatuan penduduk MPP sejak tahun 2010. Selain itu, pihak MBSA juga bercadang untuk memberikan satu (1) set tong sampah kitar semula sebagai insentif kepada komuniti yang aktif sebagai salah satu kemudahan untuk pengasingan sisa bagi meningkatkan tahap kebersihan di kawasan tempat tinggal.