Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

219) PROGRAM KAWALAN PEROSAK TANAMAN (KERA)

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah Kerajaan Negeri dapat memastikan keberkesanan program kawalan perosak tanaman (kera) di kawasan luar bandar?

    Kerajaan Negeri melalui Jabatan PERHILITAN telah melaksanakan pelbagai langkah mitigasi kawalan kacau ganggu hidupan liar melibatkan kera dan babi hutan antaranya program kawalan perosak tanaman yang sering diadakan di kawasan luar yang terjejas. Bagi memastikan keberkesanan program ini beberapa langkah penting diambil antaranya:

    i) Pemantauan berterusan melalui operasi bersepadu yang dijalankan secara berkala di kawasan luar bandar yang terjejas. Operasi ini melibatkan kerjasama dari pelbagai pihak termasuk masyarakat setempat. lanya perlu dijalankan tertutamanya di kawasan yang kritikal, bergantung kepada tahap dan bilangan aduan yang diterima.

    ii) Pengelasan semula populasi hidupan liar bermasalah (kera dan babi hutan) dilaksanakan bagi penentuan tindakan yang sesuai dilaksanakan setelah dibuktikan keberkesanan program ini.

     

    iii)     Program kawalan perosak tanaman disusuli dengan pelaksanaan pemasangan perangkap pelbagai saiz dan menggalakkan rekaan- rekaan inovasi perangkap yang boleh memerangkap hidupan liar khususnya kera dan babi hutan dalam jumlah yang besar.

  2. Berapakah kekerapan program kawalan perosak tanaman (kera) ini telah dijalankan pada tahun 2022 & 2023 dan sila nyatakan lokasi yang terlibat?

    Operasi bersepadu kawalan konflik hidupan liar dilaksanakan sebanyak 16 operasi sepanjang tahun 2023. Lokasi yang terlibat adalah seperti berikut:

     

    Lokasi Kekerapan (Bilangan Program)
    Taman Tun Abdul Razak, Ampang 5
    Kg. Sg. Limau, Kg. Sg. Hj Dorani 1
    Politeknik Sultan Idris Shah, Sg. Lang 1
    Kinrara Golf Club 4
    Kg. Seri Tiram Jaya 1
    Universiti Putra Malaysia 1
    Bukit Kerayong, Kapar 2
    Felda Gedangsa Hulu Selangor 1

     

     

    Sepanjang tahun 2022, sebanyak 14 Operasi Bersepadu Kawalan Konflik Hidupan Liar telah dijalankan di lokasi-lokasi seperti berikut:

     

    Lokasi Kekerapan (Bilangan Program)
    Kg. Seri Tiram Jaya, Kuala Selangor 3
    Taman Pelangi, Semenyih 1
    Universiti Putra Malaysia, Seri Kembangan 3
    Kg. Sijangkang, Telok Panglima Garang, Kuala Langat 1
    Taman Bakawali, Bukit Sentosa, Hulu Selangor 1
    Rawang Perdana, Gombak 1
    Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong 3
    Kampung Muhibbah Utama, Sungai Tengi, Hulu Selangor 1
  3. Bagaimanakah Kerajaan Negeri dapat mengawal pembiakan kera/monyet di negeri ini memandangkan konflik manusia dan kera ini telah berlarutan sejak sekian lama?

    Kerajaan negeri melalui Jabatan PERHILITAN berhadapan cabaran yang tinggi dalam usaha mengawal kacau ganggu primat khususnya kera di negeri yang pesat membangun ini. Kebolehan adaptasi yang tinggi menyebabkan spesies ini boleh hidup dalam kelompok masyarakat manusia walaupun mempunyai sumber makanan yang terhad. Banyak faktor menyumbang kepada berkembang-biaknya kera-kera ini ialah kadar pembiakannya yang tinggi. Diantara langkah pengawalan yang dilaksanakan ialah melalui :

     

    I. Kawalan populasi

    Pengawalan populasi kera adalah melalui tindakan penakaian (culling). Ini merupakan kaedah biasa yang diamalkan dalam pengurusan hidupan liar untuk mengurangkan konflik dengan manusia. Dalam konteks konflik dengan kera di kawasan penempatan, penakaian dilakukan untuk mengurangkan jumlah individu yang mendekati kawasan perumahan dan menyebabkan masalah. Kaedah yang dilakukan ialah:

     

    1. Perangkap diletakkan dikawasan yang aduan yang bermasalah dan haiwan yang ditangkap akan dibuat penakaian.
    2. Menjalankan operasi basmi musuh tanaman secara bersepadu. Operasi ini dijalankan dengan diantara Jabatan PERHILITAN dengan melibatkan kerjasama komuniti dan stakeholder di kawasan konflik.

     

    Walau bagaimanapun, penting untuk diingat bahawa penakaian mungkin tidak selalu menjadi penyelesaian yang ideal atau berkesan dalam jangka panjang

    ii. Pemasangan papantanda amaran.

    Diantara punca konflik adalah aktiviti memberi makan kepada hidupan liar seperti kera. Aktiviti memberi makan ini mengubah diet semulajadinya yang boleh meningkatkan kadar reproduktifnya. Tindakan ini menyebabkan hidupan liar ini bergantung sepenuhnya kepada manusia untuk mendapatkan makanan. Sumber makanannya menjadi lebih mudah diperolehi berbanding ia mencari di dalam hutan. Ini menjadikan faktor hidupan liar lebih suka berada di kawasan kediaman berbanding dalam hutan. Jabatan PERHILITAN telah meningkatkan pemasangan papantanda ‘DILARANG MEMBERI MAKAN KEPADA HIDUPAN LIAR’ di beberapa kawasan hotspot pemberian makan kepada hidupan liar oleh orang awam. Papantanda ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesan dan akibat aktiviti mereka kepada haiwan tersebut yang akhirnya mencetuskan konflik kepada manusia sekitar.

     

    iii. Khidmat nasihat

    Pengurusan sampah yang tidak sistematik turut menyumbang kepada kehadiran kera ke Kawasan komuniti atau kediaman. Justeru itu, dalam melaksanakan tindakan pengurusan konflik ini, Jabatan PERHILITAN turut memberi khidmat nasihat kepada pengurusan kediaman/ persatuan penduduk agar mengurus dengan baik tempat pengumpulan sampah. Kawasan ini menjadi Kawasan tumpuan utama kera untuk hadir ke kawasan tersebut dengan lebih kerap jika ia tidak diurus dengan lebih sistematik.

     

    IV. Kajian dan Penyelidikan

    Dalam mengurus hidupan liar, kajian dan penyelidikan saintifik harus dilaksanakan juga. Jabatan PERHILITAN telah menjalankan beberapa kajian penyelidikan yang dapat membantu membuat penilaian dan menentukan tindakan pengurusan terhadap hidupan liar. Diantaranya ialah kajian perilaku kera dan populasi kera di kawasan hotspot.

Lampiran

Tiada Lampiran.