Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

69) PROGRAM KASIH IBU SMART SELANGOR ( KISS )

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah peserta Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) pada tahun 2021.

    Untuk makluman Yang Berhormat Semenyih, jumlah peserta Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) pada Disember 2021 adalah seramai 18,685 penerima merangkumi 16,313 penerima KISS dan 2,372 penerima KISS Ibu Tunggal. Bilangan ini adalah selepas pemutihan senarai penerima KISS yang telah dilaksanakan oleh semua DUN.

  2. Apakah tindakan susulan untuk memastikan penduduk yang layak dapat menerima KISS ini?

    Untuk memastikan penduduk yang layak dapat menerima program KISS ini, sesi pemutihan telah dilaksanakan pada tahun 2019 dan tahun 2021 oleh setiap DUN bagi menapis golongan ibu yang masih layak serta yang telah bertukar status menjadi tidak layak. Daripada proses pemutihan yang telah dilaksanakan ini, rakyat Selangor yang layak menjadi penerima KISS berpeluang lebih luas setelah penerima yang sudah tidak layak telah dikeluarkan dari senarai penerima.

    Selain itu, pihak Kerajaan Negeri telah melaksanakan penjenamaan semula program KISS kepada Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dan menambahbaik pelaksanaan program ini dengan menambah kuota penerima daripada 25,000 penerima kepada 30,000 penerima dengan kadar bantuan bulanan yang telah ditingkatkan kepada RM300.00 sebulan

     

    NOTA TAMBAHAN:

    Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS)

    I. Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor atau dipanggil BINGKAS adalah merupakan inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri sebagaimana yang telah diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor melalui pembentangan Belanjawan Negeri Selangor bagi tahun 2022 pada 26 November 2021 yang lalu sebagai satu usaha meluaskan capaian dan menambah baik Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) bagi mendepani cabaran pasca pandemik.

    II. Program Kasih Ibu Smart Selangor atau KISS diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2018 sebagai penghormatan dan pengiktirafan dalam usaha menghargai sumbangan dan pengorbanan ibu-ibu dalam membentuk jati diri dan bangsa sekaligus melahirkan institusi keluarga yang bahagia dan sejahtera. Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM200.00 sebulan bagi pembelian barang-barang harian seperti barangan makanan, produk tenusu, kelengkapan mandian dan lain lain secara cashless melalui kad pintar di kedai-kedai dan pasaraya-pasaraya terpilih.

    III. Melalui inisiatif ini, akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM3,600.00 setahun atau RM300.00 sebulan kepada setiap keluarga yang layak bagi menampung pembelian barangan keperluan asas keluarga secara e-wallet (cashless) di kedai-kedai dan pasaraya-pasaraya di seluruh Selangor yang terpilih termasuk juga tambahan kepada barang keperluan rumah, membayar yuran dan perihal pendidikan anak-anak.

    IV. Kerajaan Negeri Selangor melalui pembentangan belanjawan yang lalu telah menyediakan peruntukan berjumlah RM108 juta dengan jangkaan 30,000 penerima manfaat yang memenuhi kelayakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.