Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

56) PROGRAM JOM SHOPPING PERAYAAN

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan kuota JSP perayaan yang diberikan kepada setiap DUN.

    Untuk makluman Yang Berhormat Pandamaran Program Bantuan Baucar Jom Shopping Sempena Perayaan merupakan program bantuan secara tahunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan khusus untuk golongan berpendapatan rendah di negeri Selangor.

    Objektif program ini adalah bagi meringankan bebanan keluarga yang berpendapatan rendah dalam membuat persiapan menyambut perayaan. Ini secara tidak langsung membantu melaksanakan agenda Kerajaan Negeri dalam meringankan beban rakyat susulan kenaikan kos taraf hidup.

    Kuota Jom Shopping Perayaan bagi setiap DUN dan setiap Perayaan akan ditetapkan dan diselaraskan sebelum program bagi satu-satu perayaan dijalankan. Oleh yang demikian senarai kuota boleh berubah-ubah bagi memastikan keperluan setiap DUN dapat dipenuhi dan baucar dapat dimaksimakan dengan sebaiknya.

    Sepanjang program Jom Shopping Perayaan ini dijalankan, banyak penambahbaikan telah dilakukan bagi membantu melancarkan program ini dan bagi memastikan mampu mencapai objektifnya. Senarai kuota yang telah tersedia hanya bagi perayaan Tahun Baru Cina yang lalu sahaja dan bagi dua perayaan lagi, masih dalam peringkat semakan dan perbincangan. Walau bagaimanapun, saya tidak dapat memberikan kuota bagi setiap DUN untuk makluman semua, sebalikna hanya atas permintaan DUN tertentu sahaja yang boleh dimaklumkan.

  2. Nyatakan kaedah untuk mengagihkan kuota.

    Pembahagian kuota jumlah baucar bagi setiap DUN untuk Program Bantuan Baucar Jom Shopping Sempena Perayaan ini adalah berdasarkan kepada jumlah pengundi berdaftar mengikut kaum di kawasan DUN tersebut. Data pengundi berdaftar terkini yang diperolehi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) adalah data sehingga 31 Oktober 2024 dan telah diwartakan pada 21 November 2024. Peratusan pengundi Negeri Selangor mengikut kaum adalah seperti berikut:

    BIL KAUM JUMLAH PENGUNDI (ORANG) PERATUS
    1 Melayu 1,989,320 51%
    2 Cina 1,196,078 31%
    3 India 531,797 14%
    4 Bumi Sabah 24,516 0.63%
    5 Bumi Sabah 12,097 0.31%
    6 Orang Asli 14,827 0.38%
    7 Lain-Lain 99,694 2.58%

     

    Seterusnya jumlah kuota baucar ditetapkan mengikut petunjuk yang ditetapkan, dan jumlah baucar ditetapkan mengikut jumlah yang dibincangkan dan dipersetujui. Jumlah pengundi diletakkan dalam kategori tertentu mengikut bilangan pengundi Negeri Selangor secara keseluruhan. Petunjuk pembahagian baucar adalah seperti dibawah:

    KATEGORI JUMLAH PENGUNDI MENGIKUT KAUM (ORANG)
    A 0 – 10,000
    B 10,001 – 20,000
    C 20,001 – 30,000
    D 30,001 – 40,000
    E 40,001 – 50,000
    F 50,001 – 60,000
    G 60,001 DAN KE ATAS

     

    Selain dari penetapan kuota mengikut bilangan pengundi dan kaum, kuota baucar juga akan di selaraskan mengikut data penggunaan baucar oleh setiap DUN bagi tahun-tahun sebelum ini, dimana semakan yang telah dilakukan terdapat DUN yang menerima permohonan yang terlalu rendah dari keluarga yang mempunyai pendapatan seisi rumah RM3,000.00 dan ke bawah yang menyebabkan kadar penggunaan yang sangat rendah, maka jumlah kuota akan diselaraskan sebaiknya, (dikurangkan) bagi memberi peluang kepada DUN lain yang lebih memerlukan (ditambah) bagi mengelakkan baucar tidak digunakan selepas selesai program.

    Seterusnya jumlah baucar bagi setiap DUN akan ditetapkan dengan mengambil kira kesemua perkara-perkara diatas. Bagi kes-kes pemberian dan penerimaan baucar lebihan dari satu DUN kepada DUN yang lain adalah mengikut persetujuan ADUN tersebut dan perlu dimaklumkan dengan surat rasmi kepada pihak UPEN bagi membantu setiap DUN dengan sebaiknya terutamanya dalam urusan pemberian dan penerimaan baucar tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.