Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

39) PROGRAM JOM SHOPPING

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Mengapakah program Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dihentikan?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin dan menghargai setiap warganya. Kepedulian Kerajaan Negeri ini dizahirkan melalui pelbagai skim yang diwujudkan di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor. Ia termasuklah program Jom Shopping untuk ahli-ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, program ini tidak pernah dihentikan. Namun, oleh kerana program ini merupakan satu program yang bersifat ‘One Off’, ia hanya dapat dilaksanakan berdasarkan jumlah peruntukan yang telah dipersetujui untuk jumlah peserta yang telah ditentukan. Apabila peruntukan tersebut telah dibelanjakan keseluruhannya, persetujuan baru perlu diperolehi sebelum ianya dapat disambung kembali.

    Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga telah mengkaji semula keberkesanan pelaksanaannya di samping melihat sekiranya terdapat keperluan untuk penambahbaikan dalam pelaksanaan seterusnya.

  2. Apakah ia akan disambung semula pada tahun 2017?

    Program Jom Shopping yang telah dilaksanakan sebelum ini telah memberikan pelbagai kebaikan kepada pesertanya. Secara langsung atau tidak langsung program ini telah berjaya mencapai matlamat tujuan ia diwujudkan, antara lain:

    • Membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat secara keseluruhannya.
    • Warga emas dapat dibawa keluar daripada sindrom ‘bird nest’ di mana mereka hanya tinggal di rumah dan urusan seharian dilakukan oleh anak-anak.
    • Warga emas berkenaan bebas untuk berbelanja dan membuat pilihan barangan yang diperlukan hatta kepada siapa mereka mahu belanjakan.
    • Menikmati kemeriahan suasana berbelanja secara berkumpulan bersama-sama rakan sebaya daripada pelbagai kaum dan status dalam masyarakat.
    • Memberi keceriaan kepada kalangan warga emas yang diraikan. Mereka dapat berinteraksi sesama mereka, malahan boleh pula mengenali sahabat-sahabat baru yang seusia di kalangan mereka.

    Memandangkan program Jom Shopping untuk ahli-ahli SMUE ini merupakan satu program yang popular dan banyak memberikan manfaat kepada rakyat khususnya warga emas di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meneruskannya selewat-lewatnya pada 1 Januari 2017.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.