Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

9) PROGRAM JOM SHOPPING

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah peserta yang telah menyertai program tersebut sejak ianya dijalankan mengikut pecahan daerah dan kaum?

    Program Pemberian Bantuan Secara Baucer untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan merupakan program bantuan secara tahunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan khusus untuk golongan berpendapatan rendah di negeri Selangor. Objektif program ini adalah untuk meringankan bebanan keluarga yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut perayaan. Melalui pelaksanaan program bantuan ini, ianya dillihat berupaya memberi impak positif terhadap kesejahteraan rakyat dalam membantu keluarga berpendapatan rendah dan golongan kurang berkemampuan.

    Bermula daripada tahun 2012 sehingga Jun 2017, sejumlah 394,954 orang telah menerima manfaat bagi program ini. Jumlah penerima manfaat mengikut daerah dan kaum pula adalah seperti di jadual berikut :-

    BIL. DAERAH JUMLAH PENERIMA MANFAAT

    BAGI TAHUN 2012 HINGGA 2017 (ORANG)

    KAUM MELAYU KAUM CINA KAUM INDIA JUMLAH
    1. Petaling 44,256 32,807 29,645 106,708
    2. Klang 24,207 16,315 17,008 57,530
    3. Sabak 15,099 8,988 9,398 33,485
    4. Gombak 15,646 9,586 10,190 35,422
    5. Hulu Langat 31,440 20,964 19,508 71,912
    6. Kuala Langat 11,998 7,499 8,000 27,497
    7. Kuala Selangor 11,900 7,264 8,389 27,553
    8. Sepang 6,300 3,599 4,420 14,319
    9. Hulu Selangor 9,044 5,397 6,087 20,528
    JUMLAH KESELURUHAN (sehingga Jun 2017) 169,890 112,419 112,645 394,954
  2. Berapakah jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan dan bilakah kadarnya akan dinaikkan kepada RM150.00?

    Berdasarkan rekod, bermula daripada tahun 2012 hingga Jun 2017, jumlah perbelanjaan bagi program ini adalah sebanyak RM33,293,400.00. Pecahan jumlah perbelanjaan program dan jumlah penerima manfaat mengikut perayaan dan tahun adalah seperti jadual berikut:-

    BIL. PERAYAAN JUMLAH PENERIMA MANFAAT JUMLAH PERBELANJAAN
    TAHUN 2012
    1. Hari Raya Aidilfitri 56,000 orang RM2,394,000.00
    2. Deepavali 39,200 orang RM1,764,000.00
    JUMLAH KECIL 95,200 orang RM4,158,000.00
    *Nota : Bantuan bagi tahun 2012 adalah berbentuk hamper barangan keperluan
    TAHUN 2013
    1. Tahun Baru Cina 16,800 orang RM840,000.00

     

    *Nota : Wang tunai bernilai RM50

    2. Hari Raya Aidilfitri 28,000 orang RM2,800,000.00
    3. Deepavali 16,800 orang RM1,680,000.00
    JUMLAH KECIL 61,600 orang RM5,320,000.00
    TAHUN 2014
    1. Tahun Baru Cina 22,400 orang RM2,240,000.00
    2. Hari Raya Aidilfitri 25,753 orang RM2,575,300.00
    3. Deepavali 16,951 orang RM1,695,100.00
    JUMLAH KECIL 65,104 orang RM6,510,400.00

     

    BIL. PERAYAAN JUMLAH PENERIMA MANFAAT JUMLAH PERBELANJAAN
    TAHUN 2015
    1. Tahun Baru Cina 20,781 orang RM2,078,100.00
    2. Hari Raya Aidilfitri 28,774 orang RM2,877,400.00
    3. Deepavali 17,350 orang RM1,735,000.00
    JUMLAH KECIL 66,905 orang RM6,690,500.00
    TAHUN 2016
    1. Tahun Baru Cina 26,229 orang RM2,622,900.00
    2. Hari Raya Aidilfitri 31,363 orang RM3,136,300.00
    3. Deepavali 22,344 orang RM2,234,400.00
    JUMLAH KECIL 79,936 orang RM7,993,600.00
    TAHUN 2017
    1. Tahun Baru Cina 26,209 orang RM2,620,900.00
    2. Hari Raya Aidilfitri *Program telah dilaksanakan. Laporan akhir penggunaan baucer daripada pasar raya sedang dikemaskini.
    3. Deepavali *Program belum dilaksanakan.
    JUMLAH KECIL 26,209 orang RM2,620,900.00
    JUMLAH KESELURUHAN

    (sehingga Jun 2017)

    394,954 orang RM33,293,400.00

    Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin dan komited dalam usaha membantu meringankan bebanan rakyat dalam pelbagai dimensi dengan memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira etnik. Dalam memastikan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah sentiasa mendapat manfaat serta terus menikmati kemakmuran dan kesejahteraan, Kerajaan Negeri mengalu-alukan sebarang syor atau cadangan penambahbaikan program.

    Justeru itu, Kerajaan Negeri mengambil perhatian akan syor/ cadangan berhubung cadangan menaikkan nilai baucer daripada RM100.00 kepada RM150.00 bagi program ini. Sebagai makluman, jumlah perbelanjaan bagi Program Pemberian Bantuan Secara Baucer untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali bagi tahun 2016 dengan nilai RM100.00 per baucer melibatkan jumlah perbelanjaan yang tinggi iaitu sebanyak RM7,993,600.00. Oleh yang demikian, cadangan untuk menaikkan nilai setiap baucer daripada RM100.00 kepada RM150.00 ini dijangka akan melibatkan implikasi kos yang lebih tinggi dan ianya dilihat perlu diteliti semula secara terperinci bagi melihat jangkaan impak/ kesan pelaksanaannya.

  3. Bilakah Jom Shopping Warga Emas secara bulanan akan dijalankan semula?

    Program Jom Shopping yang dilaksanakan oleh Rantaian Mesra Sdn. Bhd. merupakan program bantuan khusus untuk golongan warga emas di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE). Namun begitu, berdasarkan kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 35/2016 bertarikh 19 Oktober 2016, pelaksanaan program ini telah ditangguhkan.

    Kerajaan Negeri mengalu-alukan sebarang cadangan atau syor bagi melaksanakan program bantuan untuk meringankan bebanan golongan warga emas. Namun begitu, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa Program Jom Shopping untuk warga emas ini perlu dikaji kesesuaiannya serta impaknya perlu dilihat dari pelbagai aspek terlebih dahulu bagi memastikan objektif/ matlamat utama pelaksanaan program bantuan dapat dicapai. Ini adalah kerana, kini terdapat pelbagai program bantuan sedia ada yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri yang turut melibatkan warga emas sebagai golongan sasaran. Sebagai contoh, Program Pemberian Bantuan Secara Baucer untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan dan Program Bantuan Makanan Asas (Food Stamp) merupakan program bantuan yang bersifat menyeluruh kepada semua golongan kurang berkemampuan di Negeri Selangor termasuk warga emas.

Lampiran

Tiada Lampiran.