Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
159) PROGRAM JOM SHOPPING
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan siapakah penerima yang layak menerima program Jom Shopping untuk setiap perayaan.
Untuk makluman Yang Berhormat Bandar Baru Klang penerima yang layak bagi Program Bantuan Baucar Jom Shopping Sempena Perayaan adalah seperti syarat kelayakan yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 1/2024 bertarikh 10 Januari 2024 dan disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 2/2024 bertarikh 17 Januari 2024 adalah seperti syarat-syarat berikut:
- Penerima bantuan adalah masyarakat yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidifitri dan Deepavali;
- Penerima bantuan mempunyai pendapatan seisi rumah RM3,000.00 dan ke bawah;
- Penerima bantuan mestilah pengundi berdaftar di DUN berkenaan:
- Hanya seorang penerima bantuan sahaja yang layak menerima baucar bagi setiap keluarga;
- Penerima bantuan bukan penerima manfaat di bawah Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS); dan
- Penerima bantuan bukan penerima manfaat di bawah Program Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE).
-
Berapakah bilangan penerima di setiap DUN Negeri Selangor?
Penerima manfaat bagi Program Bantuan Baucar Jom Shopping Sempena Perayaan adalah seramai 72,106 orang bagi tahun 2022, 78,888 orang bagi tahun 2023 dan seramai 79,655 orang bagi tahun 2024. Purata penerima manfaat bagi setiap DUN merangkumi tiga perayaan utama Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali adalah antara 600 hingga 1600 orang penerima manfaat. Bagi DUN Bandar Baru Klang, jumpah penerima manfaat mengikut tahun 2024 adalah seramai 1,392 orang seperti di Lampiran 1.
-
Adakah terdapat rancangan untuk mengurangkan jumlah kepada RM150, sama seperti SMUE, supaya lebih ramai penerima dapat manfaat?
Sepertimana Yang Berhormat Bandar Baru Klang sedia maklum, Program Pemberian Bantuan Baucar Bersempena Perayaan atau lebih dikenali sebagai Jom Shopping Perayaan| merupakan program yang dilaksanakan sejak tahun 2012 khusus untuk membantu meringankan bebanan rakyat miskin dalam membuat persiapan menyambut perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.
Sehubungan dengan itu, menerusi perbentangan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2025 oleh YAB Dato’ Menteri Besar yang lalu, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meneruskan program ini pada tahun 2024 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM16.48 juta yang disasarkan kepada 82,400 orang penerima manfaat. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk terus mengguna pakai nilai baucar RM200 yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 1/2023 bertarikh 11 Januari 2023 dan disahkan oleh oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 2/2023 bertarikh 18 Januari 2023 dan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2023.
Penambahbaikan ini merupakan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri yang memahami keperluan rakyatnya susulan situasi keadaan ekonomi terkini yang tidak menentu di mana harga barangan makanan dan keperluan asas meningkat secara mendadak. Kerajaan negeri menyambut baik akan cadangan untuk menurunkan nilai baucar daripada RM200 kepada RM150. Namun begitu, nilai baucar RM200 yang digunapakai buat masa kini merupakan nilai yang munasabah untuk seisi keluarga yang kurang berkemampuan untuk membuat persiapan menyambut perayaan kerana ianya releven dengan situasi ekonomi hari ini.